Berita

COVID-19: Sekolah amal norma baharu, patuhi SOP

- Diterbit 4 September 2020 7:50 AM MYT

PELBAGAI persoalan pastinya berlegar-legar di fikiran ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah selepas kerajaan mengumumkan institusi pendidikan itu dibenarkan dibuka semula secara berperingkat bermula 24 Jun lepas.

Ini berikutan, ibu bapa risau terhadap aspek kebersihan, keselamatan dan kawalan penularan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, termasuklah sejauh mana amalan penjarakan fizikal dapat dipraktikkan di sekolah.

Namun, selepas lebih dua bulan sekolah dibuka, tinjauan Bernama mendapati Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pihak pengurusan sekolah sudahpun melakukan terbaik untuk melaksana prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di dalam kawasan sekolah

Susulan norma baharu sesi persekolahan, setiap hari sebaik sahaja menjejakkan kaki di pagar sekolah, suhu badan pelajar akan diperiksa sebelum dibenarkan masuk ke premis sekolah.

Pelajar, kemudian akan mengikut laluan bertanda menuju ke kelas bagi memastikan penjarakan fizikal dipatuhi, duduk di meja yang berada dalam jarak satu meter antara satu sama lain, selain makan di dalam kelas semasa waktu rehat.

Mengulas mengenai kebiasaan baharu itu, Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof berkata pihaknya akan memastikan setiap pengurusan sekolah mematuhi arahan tersebut selaras dengan Garis Panduan Pembukaan Semula Sekolah KPM di seluruh negara.

Katanya pihak sekolah juga sudah diarahkan menjalankan proses sanitasi menggunakan campuran cecair antiseptik di tempat tumpuan seperti di bilik darjah, makmal, bilik makan, asrama dan sebagainya bagi melindungi warga sekolah daripada pandemik tersebut.

Malah, jelasnya, fokus utama pembersihan adalah pada permukaan yang sering disentuh dan pada paras ketinggian yang boleh dicapai oleh tangan seperti tombol pintu, suis lampu, sinki dan kepala paip.

Beliau, bagaimanapun menjelaskan sekolah tidak termasuk dalam kriteria takrif tempat awam yang boleh diakses oleh orang ramai tanpa kebenaran mengikut Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388), justeru pemakaian pelitup muka adalah tidak diwajibkan di sekolah.

“Namun, kita sentiasa menggalakkan pelajar memakai pelitup muka di sekolah. Pihak sekolah juga akan membekalkan pelitup muka kepada pelajar yang bergejala dan mereka diasingkan di bilik isolasi, sementara menunggu ibu bapa atau penjaga membawa mereka pulang.

“Pihak sekolah juga akan memastikan pelajar yang mempunyai masalah berkaitan imuniti badan yang rendah sentiasa memakai pelitup muka,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, guru Zuraini Eusope, 51, berkata seluruh warga sekolah termasuk guru dan pelajar bertanggungjawab menjaga kebersihan kawasan sekolah dengan mensanitasi bilik darjah serta tidak bergantung kepada pekerja pembersihan sahaja.

Bertugas di Sekolah Kebangsaan Marian Convent Ipoh, Perak yang mempunyai dua sesi pengajaran dan pembelajaran, beliau berkata guru terakhir mengajar pada sesi pagi atau petang akan menggunakan cecair antiseptik untuk mensanitasi kawasan strategik dalam bilik darjah bagi memastikan ia bersih untuk kegunaan sesi pembelajaran seterusnya.

“Murid juga diajar untuk mencuci tangan dengan cara yang betul menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman. Guru juga diingatkan untuk menjaga kebersihan diri dan kelas pada setiap masa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas