Berita

Selesaikan krisis, KWP diminta tubuh syarikat urus air Wilayah Persekutuan

MOHD IRWAN RIZAL Mohd Irwan Rizal
- Diterbit 4 September 2020 8:19 AM MYT

RENTETAN masalah gangguan bekalan air yang sering membelenggu pengguna di Lembah Klang terutama Kuala Lumpur dan Putrajaya, Kementerian Wilayah Persekutuan menubuhkan syarikat pengurusan airnya sendiri.

Timbalan Ketua UMNO Setiawangsa, Datuk Mohd Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, langkah ini dilihat dapat meringankan beban Kerajaan Negeri Selangor yang pada masa ini perlu menguruskan keseluruhan perkhidmatan air.

“Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Selangor perlu menguruskan perkhidmatan air dari peringkat rawatan sehingga pengagihan kepada lebih 7.5 juta penduduk di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Pengurusan pembekalan air yang efisien adalah penting dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa diminta untuk memberikan perhatian dan mengambil tindakan segera untuk menubuhkan Syarikat Pengurusan Air Wilayah Persekutuan,”

“Syarikat itu nanti perlu menguruskan perkhidmatan pembekalan air kepada seluruh kawasan liputannya agar rakyat keseluruhan mendapat manfaat yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata Mohd Irwan, pada masa ini bekalan air ke seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya serta Negeri Selangor diuruskan sepenuhnya oleh Syarikat Air Selangor.

“Adalah wajar bagi setiap negeri menguruskan pembekalan airnya sendiri, kenapa tidak Wilayah Persekutuan? Sedangkan negeri Perlis mampu menubuhkan Syarikat Air Perlis untuk menguruskan perkhidmatan bekalan airnya sendiri.

“Saya percaya Wilayah Persekutuan mampu melakukan tugas yang lebih baik apabila perkhidmatan yang lebih khusus dapat diberikan berbanding pada masa ini,” katanya.

Tegasnya lagi, selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Kerajaan Persekutuan yang mempunyai kuasa eksekutif terhadap segala perkara yang berhubungan dengan bekalan air disarankan untuk menyelesaikan isu ini.

“Menteri Wilayah Persekutuan, Menteri Alam Sekitar dan Air, serta Menteri Besar Selangor perlu duduk semeja dan ketepikan perbezaan fahaman politik masing-masing.

“Ia untuk membincangkan serta menyelesaikan isu ini demi kepentingan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Katanya lagi, dengan wujudnya perkhidmatan ini, ianya dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga Wilayah dan sekaligus dapat meningkatkan taraf kualiti hidup mereka. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas