Personaliti

Covid-19: Ramadan penuh kesedaran buat Sharifah Khasif

|Sharifah Khasif
- Diterbit 25 April 2020 2:02 PM MYT

SAMBUTAN Ramadan dalam keadaan penularan wabak Covid-19 sebenarnya banyak mengajar erti kenikmatan yang kita sendiri tidak menyedarinya.

Ternyata ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T itu kecil sahaja jika dibandingkan dengan tiupan sangkakala yang akan mematikan seluruh makhluk yang bernyawa di bumi ini.

Menurut personaliti agama, Sharifah Khasif Fadzillah Syed Badiuzzaman, 38, kita perlu memandang situasi yang berlaku hari ini pada sisi yang penuh kenikmatan.

“Kalau sebelum ini, kita susah sangat untuk mendapat cuti, kadang-kadang raya pun terpaksa bertugas, jadi hari ini Allah bagi kita kesempatan untuk berehat panjang.

“Dia bagi kita masa untuk berfikir dan muhasabah diri sendiri serta kaum keluarga adakah kita dan insan-insan yang kita sayang memikul tanggungjawab sebaiknya sebagai khalifah di muka bumi ini atau sebaliknya, ” ujarnya kepada Wilayahku.

Katanya lagi, mungkin masa yang diberikan ini membuatkan kita baru tersedar anak-anak yang kita tinggalkan di rumah kerana kesibukan kita bekerja tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik.

“Adakah kita selama ini cukup menitikberatkan ilmu agama untuk bekalan mereka di akhirat kelak yakni anak yang soleh itu jugalah yang dapat mendoakan kita apabila sudah tiada di dunia ini lagi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Ramadan yang tiba ini perlu dimanfaatkan dengan sebaiknya kerana kita tidak tahu adakah berkesempatan untuk menemuinya lagi pada tahun hadapan.

Sharifah Khasif

“Bulan yang penuh keberkatan perlu dipertingkatkan amal ibadat kerana setiap apa yang kita lakukan mendapat balasan pahala yang berlipat kali ganda.

“Waktu cuti yang panjang ini anggaplah anugerah Allah S.W.T agar kita mempunyai banyak masa untuk membaca Al-Quran, berselawat, bertahajud, melakukan solat tarawih dan sebagainya,” pesan Sharifah Khasif.

Tidak dinafikan, suasana sambutan Ramadan juga membuatkan kita teringin untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambutnya bersama kaum keluarga tercinta.

Namun kita perlu akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung saat ini.

“Semua orang berasaskan perkara yang sama. Saya juga begitu. Tahun ini Ramadan hanya bersama anak di Kuala Lumpur. Kebiasaannya sesibuk mana pun saya akan pulang untuk menyambutnya bersama ibu di Ipoh, Perak,” ujarnya.

Katanya, situasi ini juga membuatkannya terfikir sejenak, wabak yang melanda membuatkan ramai yang berjauhan daripada insan-insan tersayang.

“Ia mengajar kita suatu perkara, di alam kubur nanti kita juga pasti sendiri. Tiada yang menemani melainkan amalan sahaja yang dapat membantu,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas