Biz

Covid 19, pengusaha biskut raya rugi setengah juta ringgit

NORHAYATI buntu memikirkan cara untuk memasarkan biskut raya. NORHAYATI buntu memikirkan cara untuk memasarkan biskut raya.
- Diterbit 30 April 2020 5:41 AM MYT

“Saya kerugian RM500,000 apabila semua pemborong membatalkan tempahan dan pembelian biskut raya di saat-saat akhir,” ujar pengusaha biskut raya, Norhayati Md. Jusoh, 54.

Pengusaha kecil dan sederhana (PKS) ini terpaksa menerima hakikat tersebut apabila pihak kerajaan mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya terpaksa memulangkan semula duit deposit pelanggan dan kini buntu untuk mencari jalan membayar gaji pekerja dan pembekal bahan mentah,” ujarnya kepada Wilayahku.

Menurutnya lagi, situasi tersebut amat menekan dirinya lebih-lebih lagi dia telah mengeluarkan modal yang cukup besar untuk perniagaan biskut raya pada tahun ini.

“Saya sedang berusaha untuk membayar gaji pekerja namun buntu apabila berdepan dengan hutang pembekal barangan mentah yang mencecah RM200,000,” ujarnya.

Kata pengusaha kilang Norhayati Cookies yang terletak di Sungai Besar, Selangor ini lagi, dia kini tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah lambakan biskut rayanya itu.

“Kita ada 1,000 kotak biskut raya (1 kotak ada 24 balang) yang telah siap untuk dipasarkan termasuklah untuk pemborong-pemborong yang menjual di bazar dan ekspo Ramadan di seluruh negara.

“Situasi yang melanda kini menyebabkan bekalan terpaksa dibatalkan dan ini hakikat yang amat pahit untuk ditelan,” ujarnya yang menjalankan perniagaan biskut raya sejak 20 tahun yang lalu.

Akur dengan situasi tersebut, Norhayati berkata jika sesiapa di luar sana yang ingin memborong atau membeli lambakan biskut raya tersebut, dia akan menjual dengan harga yang rendah.

“Pihak kami akan menjual dengan harga modal sahaja, jika ambil lebih daripada lima kotak, kami tolak RM10 satu balang serta akan menghantar ke lokasi pelanggan.

“Saya merayu jika ada pemborong, peniaga kecil, orang persendirian mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berhasrat untuk membeli atau mendermakan biskut kepada sesiapa sahaja bolehlah menghubungi saya,” ujar Norhayati.

Lebih 14 jenis biskut raya pilihan ramai yang dikeluarkan oleh Norhayati Cookies antaranya coklat brownies, tart gulung, red velvet, oat chocolate chips dan banyak lagi.

“Fokus saya kini hanya untuk menjual lambakan ini, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban hutang yang ditanggung. Itu belum lagi termasuk hutang peribadi seperti kenderaan dan sebagainya,” ujarnya.

Bagi yang ingin membeli biskut raya untuk lebaran yang bakal menjelang disamping meringankan beban Norhayati bolehlah menghubungi talian 013-3660429. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas