Berita

Covid-19: Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara, mulai 18 Mac ini

MUHYIDDIN semasa menyampaikan Perutusan Khas sebentar tadi.
- Diterbit 16 Mac 2020 3:11 PM MYT

PUTRAJAYA – Susulan peningkatan wabak Covid-19, kerajaan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai 18 hingga 31 Mac ini, di seluruh negara di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Akta Polis 1967.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perintah itu meliputi, pertama, larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Jelas beliau, bagi menguatkuasakan larangan tersebut, semua rumah ibadat dan premis perniagaan hendaklah ditutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.

“Khusus untuk umat Islam, penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatan Kuasa Muzakarah Khas yang bersidang pada 15 Mac lalu.

“Kedua, sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara manakala, bagi yang baru pulang dari luar negara pula, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan serta melakukan kuarantin secara sukarela (atau self quarantine) selama 14 hari.

“Ketiga, sekatan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke dalam negara. Keempat, penutupan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah antarabangsa, pusat tahfiz dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti.

“Seterusnya, penutupan semua institusi pendidikan tinggi (IPT) awam dan swasta serta institut latihan kemahiran di seluruh negara. Akhir sekali, penutupan semua premis kerajaan dan swasta kecuali yang terlibat dengan perkhidmatan penting negara iaitu air, elektrik, tenaga dan telekomunikasi.

“Turut terlibat adalah pos, pengangkutan, pengairan, minyak, gas, bahan api, pelincir, penyiaran, kewangan, perbankan, kesihatan, farmasi, bomba, penjara, pelabuhan, lapangan terbang, keselamatan, pertahanan, pembersihan, peruncitan dan bekalan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas yang disiarkan secara langsung di rangkaian televisyen di seluruh negara malam ini.

Susulan larangan tersebut, tegas Muhyiddin, tindakan itu mesti dilaksanakan untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang berkemungkinan meragut nyawa rakyat negara ini walaupun masyarakat mungkin merasakan ia akan menimbulkan kesulitan dan kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas