Berita

COVID-19: Negara Eropah catat peningkatan ketara, kes AS melepas 9.5 juta

- Diterbit 6 November 2020 4:00 AM MYT

KES jangkitan harian COVID-19 di Paris meningkat ke tahap paling tinggi iaitu 58,046 dalam tempoh 24 jam terakhir, kata Ketua Pengarah Kesihatan Negara Jerome Salomon pada Khamis. Jumlah sebelumnya – 52,518 – dilaporkan pada 2 November, lapor agensi berita Xinhua.

Perancis telah mencatat lebih daripada 1.6 juta kes sejak pandemik itu bermula, jumlah tertinggi di Eropah, kata Salomon kepada wartawan.

Di Greece, 2,917 kes COVID-19 direkodkan dalam jangka masa 24 jam, rekod satu hari baharu, kata Pertubuhan Kesihatan Awam Nasional.

Negara itu juga melaporkan 29 kematian lagi dalam tempoh tersebut, menjadikan jumlah kematian kepada 702 orang, dengan rata-rata korban berusia 79 tahun, menurut pertubuhan kesihatan itu.

Sementara itu, jumlah jangkitan baharu di Jerman meningkat sebanyak 19,990 dalam satu hari kepada 597,583, kata agensi kerajaan persekutuan untuk kawalan dan pencegahan penyakit (Robert Koch Institute, RKI).

Jumlah kematian yang berkaitan COVID-19 di Jerman meningkat 118 orang dalam 24 jam terakhir kepada 10,930 orang, menurut RKI.

Amerika Syarikat pula telah melepasi 9.5 juta kes, menurut Pusat Sains dan Kejuruteraan Sistem (CSSE) di Johns Hopkins University.

Jumlah kes COVID-19 AS meningkat kepada 9,516,790, dengan jumlah kematian nasional mencapai 234,011, pada 12:25 waktu tempatan (1625 GMT), menurut CSSE.

Kementerian Kesihatan Cyprus dalam satu kenyataan mengumumkan 233 orang telah positif COVID-19.

Hasil daripada 756 ujian diumumkan ketika kawalan pergerakan baharu yang lebih ketat dilancarkan dalam usaha membendung gelombang kedua jangkitan ini. Setakat ini, negara ini mempunyai 5,333 kes.

Di Iran, jumlah kes COVID-19 meningkat kepada 654,936 setelah 8,772 jangkitan baharu dicatatkan. Sementara itu, jumlah jangkitan di Iraq menghampiri 490,000 apabila 3,701 kes baharu direkodkan.

COVID-19 setakat ini meragut 36,985 nyawa di Iran, negara paling terjejas di Timur Tengah, dengan 406 kematian baharu dicatat, kata Sima Sadat Lari, jurucakap Kementerian Kesihatan dan Pendidikan Perubatan Iran. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas