Berita

COVID-19: Lapangan terbang Labuan tingkat langkah pencegahan

- Diterbit 5 November 2020 8:21 AM MYT

MALAYSIA Airport Holdings Berhad (MAHB) Labuan meningkatkan langkah-langkah pencegahan di bangunan premis berikutan peningkatan kes positif COVID-19 dikesan di pulau itu.

Beberapa langkah itu termasuk pembersihan dan sanitasi semua kemudahan di bangunan premis untuk keselamatan penumpang.

Pengurus Lapangan Terbang Labuan Amat Madin berkata lapangan terbang itu kini dalam mod berjaga-jaga, dan setiap penumpang serta kru penerbangan dari dan ke Labuan akan disaring menggunakan pengimbas haba.

“Lapangan terbang yang menjadi pintu masuk pertama ke negara ini dianggap tempat berisiko…dengan bantuan daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan dan kontraktor pembersihan Lapangan Terbang Labuan, kami berjaya membersihkan susur tangan, eskalator, troli, lantai dan dinding termasuk karusel bagasi.

“Kami memberikan sokongan penuh kepada Kementerian Kesihatan dalam menempatkan alat pengimbas haba di lapangan terbang dan melaksanakan saringan suhu terhadap kesemua penumpang di pintu keluar dan masuk,” katanya kepada Bernama hari ini.

Amat berkata dalam mengekalkan kebersihan di Lapangan Terbang Labuan, kontrator pembersihan awam yang dilantik bekerja secara syif bagi memastikan kemudahan di lapangan terbang seperti lif, kaunter, troli dan tombol pintu sentiasa bersih. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas