Berita

Timun dan kacang panjang tersenarai dalam 20 barangan SHMMP sempena Deepavali

- Diterbit 5 November 2020 8:15 AM MYT

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyenaraikan timun dan kacang panjang ke dalam senarai 20 jenis barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Deepavali yang akan disambut Sabtu depan.

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata timun dan kacang panjang merupakan dua barang makanan baharu dimasukkan pada pelaksanaan SHMMP Deepavali tahun ini.

“Barangan ini dimasukkan hasil maklumat balas daripada masyarakat India dan kajian trend yang dilakukan pihak kementerian terhadap barangan yang mendapat permintaan tinggi semasa menjelang perayaan Deepavali,” katanya pada sidang media maya di laman Facebook Suruhanjaya Syarikat Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata tarikh kuatkuasa SHMMP ini adalah dari 9 hingga 17 Nov, iaitu selama 5 hari sebelum hari perayaan, pada hari perayaan dan tiga hari selepas hari perayaan.

Dua puluh barangan di bawah SHMMP ialah ayam hidup; ayam standard; ayam super; kambing tempatan bertulang; daging kambing dan bebiri import bertulang; telur ayam gred A; telur ayam gred B; telur ayam gred C; tomato; kubis bulat import; kacang bendi; timun; kacang panjang; cili kering; kelapa biji; kelapa parut; bawang merah kecil; bawang merah besar import; ubi kentang import dan kacang dal.

Nanta berkata penentuan harga barangan bagi negeri-negeri dibuat mengikut kesesuaian harga pasaran semasa dan mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi harga di negara asal dan perubahan kadar tukaran mata wang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Dalam usaha untuk melindungi pengguna, katanya, KPDNHEP turut meningkatkan keberadaan pegawai-pegawai penguat kuasa di tempat-tempat terpilih yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Ini bertujuan mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika melalui kehadiran pegawai penguat kuasa,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas