Berita

Covid-19: Kes baharu kembali menurun ke 2 digit, tiada kematian

ANGGOTA petugas perubatan berdoa sebelum memulakan tugas. - Gambar hiasan
- Diterbit 4 Mei 2020 10:49 AM MYT

PUTRAJAYA – Jumlah kes positif Covid-19 baharu kembali menurun ke dua digit selepas 55 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan penambahan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 di negara ini mencecah 6,353 kes.

Katanya, tujuh daripada kes baharu itu adalah kes import manakala 48 kes dikesan dari penularan tempatan.

“24 kes datang dari kluster dan lokaliti kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

“1,764 kes aktif dan boleh berjangkit. Semua pesakit itu diasingkan dan diberikan rawatan,” katanya pada sidang akhbar harian hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, 71 pesakit dibenarkan keluar hospital.

Berikutan itu, keseluruhan kes pulih di negara ini mencapai 4,484 kes dengan membabitkan 70.6 peratus.

“Ketika ini 28 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 13 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kematian dilaporkan sehingga hari ini. Jumlah kematian kekal 105 kes,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas