Berita

COVID-19: Dua kes import baharu dikesan di Labuan sedang dianalisis kemungkinan VOC

KAPAL-KAPAL yang ingin berlabuh di Labuan akan diperiksa terlebih dahulu oleh pasukan Jabatan Kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 9 September 2021 9:23 AM MYT

DUA kes import Jenis A COVID-19 baharu yang dikesan pada Selasa (7 September) di Labuan, sedang dianalisis sama ada berkait dengan varian yang membimbangkan (VOC).

Jenis A adalah kes import membabitkan warga asing manakala Jenis B membabitkan kes dari luar Labuan tetapi dari dalam Malaysia.

Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari berkata dua kes berkenaan melibatkan kru kapal asing yang pelabuhan terakhir mereka adalah negara di mana varian Mu dan Lambda COVID-19 dikesan.

“Satu daripada kes tersebut dikhuatiri boleh mencetuskan jangkitan yang tinggi, jadi kita tidak ada pilihan terpaksa menghantar sampel untuk dianalisis ke Semenanjung,” katanya kepada Bernama hari ini.

Dr Ismuni berkata dua kes berkenaan dikesan ketika pasukan petugas kesihatan swasta menjalankan saringan COVID-19 di atas kapal itu pada 6 Sept.

Beliau berkata susulan pengesanan dua kes tersebut, kesemua 28 kru telah diarah menjalani kuarantin di atas kapal.

“Kes tersebut dikesan ketika ujian saringan Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR) mandatori yang dikuatkuasakan ke atas kesemua anak kapal yang memasuki Labuan… ini merupakan kes import Jenis A pertama dikesan selepas varian Delta menyerang Labuan menyebabkan peningkatan mendadak kes dan kematian harian COVID-19,” katanya.

Dr Ismuni juga mendedahkan terdapat lima kes import baharu membabitkan kru kapal asing dikesan semalam dan sebahagiannya juga akan dihantar untuk dianalisis.

Labuan mencapai 100 peratus populasi dewasanya lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 pada Selasa lepas .

Wilayah Persekutuan itu memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan merekodkan kes harian satu digit dan tiada kematian baharu sejak 35 hari lalu, manakala jumlah kematian kekal 149 setakat hari ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas