Artikel

Covid-19 beri pengajaran paling ampuh

ORANG ramai digalakkan supaya gunakan cecair pembasmi kuman untuk elakkan jangkitan.
- Diterbit 13 Mac 2020 8:05 AM MYT

KEMELUT politik negara yang berlaku hujung Februari lalu boleh dikatakan sudah reda. Semua agensi kerajaan sudah mengetahui siapakah yang bakal menerajui mereka setelah pelantikan Menteri-Menteri Kabinet berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira seminggu.

Malaysia berjaya menunjukkan kematangannya apabila krisis politik berjaya diselesaikan secara aman dan tersusun. Namun keredaan itu disusuli dengan cabaran besar apabila seluruh dunia kini berdepan dengan ancaman wabak Covid-19.

Wabak tersebut telah memasuki gelombang kedua dengan Malaysia sudah mencatatkan kumulatif 149 kes (setakat 11 Mac) dengan 26 kes telah pulih sepenuhnya.

Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan nasihat agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai (mass gathering) ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19, tidak melancong ke negara-negara yang sedang mengalami wabak itu dan tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah, jika sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan.

Kita tidak dapat menjangka bila keadaan tersebut bakal pulih. Meskipun kerajaan telah mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bagi mengatasi masalah ini, keadaan dibimbangi semakin sukar bakal dihadapi rakyat.

Penurunan harga minyak misalnya, dari satu sudut menguntungkan pengguna domestik dan mengekang inflasi. Namun jika ia turun hingga ke paras lebih rendah sudah pastinya akan menjejaskan pendapatan negara.

Semua industri berkaitan pergerakan manusia seperti pelancongan dan penerbangan selain perdagangan berdepan cabaran besar. Dalam hal ini, rakyat mesti membuat persediaan untuk bersama-sama menangani kesan berantai wabak ini.

Klinik-klinik dan hospital swasta misal perlu membantu dengan memberikan penurunan harga perkhidmatan atau caj ubat-ubatan bagi menggalakkan orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan. Ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan.

Apa yang penting, rakyat tidak boleh lagi mengambil mudah soal kebersihan. Semua premis atau gedung perniagaan perlu proaktif dalam menyediakan persekitaran lebih bersih dan selamat.

Wabak ini sepatutnya menjadi pengajaran paling ampuh untuk peniaga khususnya premis makanan untuk memastikan kebersihan dan kualiti makanan dapat dijaga.

Orang ramai juga perlu lebih peka dan jangan ambil sikap endah tidak endah terhadap golongan peniaga yang tidak mempedulikan soal kebersihan.

Kita berdoa kepada Tuhan semoga ujian wabak Covid-19 segera pulih.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas