Berita

COVID-19: Bekas Timbalan Menteri Kesihatan cadang KKM guna gelang tangan GPS

PERAK 31-01-2019.( SL 20190131 SMOKE ) Deputy Health Minister Dr Lee Boon Chye walked into a perfect storm when he announced smoking is banned in all restaurants, coffee shops and hawker centres starting January 1.MALAY MAIL/Farhan Najib
- Diterbit 19 Ogos 2020 4:43 AM MYT

AHLI Parlimen pembangkang hari ini mencadangkan supaya Kementerian Kesihatan (KKM) menggunakan gelang tangan dengan sistem GPS bagi individu di bawah perintah kuarantin wajib di rumah khususnya mereka yang pulang dari luar negara.

Mengambil contoh kes-kes positif COVID-19 bagi kluster Sivagangga di Kedah, Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) berkata jelas berlaku kelemahan dari segi penguatkuasaan perintah kuarantin di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“…di mana terdapat kes (individu) yang pulang dari India telah merayau ke merata tempat sehingga wabak berlaku,” katanya ketika membahas Rang Undang-undang Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) 2020 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga bekas timbalan menteri kesihatan turut mencadangkan KKM menghantar pasukan penyelidik khas untuk mengkaji kluster berkenaan supaya dapat memahami mekanisme jangkitan COVID-19 secara lebih teliti serta merangka kaedah pencegahan penularan wabak itu pada masa hadapan.

Dr Lee juga mengesyorkan supaya peruntukan bagi program kesihatan awam dan bilangan petugas anggota KKM ditambah sekurang-kurangnya 20 peratus dalam perancangan kerajaan yang akan datang susulan penyakit COVID-19 yang telah membebani semua pihak terutamanya KKM.

Perbahasan rang undang-undang itu menjadi ‘panas’ apabila Teresa Kok (PH-Seputeh) yang mencelah perbahasan Dr Lee, mendakwa ada seorang menteri ke luar negara dan tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang dari negara yang dilawati.

Menurutnya, menteri berkenaan telah mengadakan lawatan tidak rasmi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi menghadiri persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai lepas.

Perkara yang dibangkitkan Kok itu telah menimbulkan rasa tidak puas hati beberapa Ahli Parlimen pembangkang antaranya R.S.N Rayer (PH-Jelutong), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) dan Datuk Dr A. Xavier Jayakumar (PH-Kuala Langat).

“Perkara ini harus dibuat ruling serta-merta…seorang menteri tidak mematuhi SOP (prosedur operasi standard) kerajaan sendiri,” tegas Rayer.

Namun, permintaannya ditolak Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon dan sebaliknya meminta Rayer menulis surat berkaitan isu itu kepadanya untuk tindakan lanjut.

Ahmad Fahmi ketika membahaskan rang undang-undang yang sama turut memohon menteri berkenaan memberikan penjelasan terhadap dakwaan itu dalam persidangan Dewan Rakyat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas