Berita

PRN Sabah: Kerajaan Sabah sedia bantu langkah pencegahan COVID-19

KOTA KINABALU, 6 Mei -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengadakan sidang media selepas penyampaian sumbangan COVID-19 daripada Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) di Pejabat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah (PPNS) hari ini.
- Diterbit 19 Ogos 2020 4:49 AM MYT

KERAJAAN Negeri Sabah sedia membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan langkah pencegahan COVID-19 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, yang ditetapkan pada 26 Sept.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya menyediakan 10 juta pelitup muka dan cecair pencuci tangan untuk kegunaan pada PRN Sabah, selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik itu dilaksanakan dengan lancar.

“Saya telah maklumkan kepada Jabatan Ketua Menteri bagi menguruskan untuk membekalkan pelitup muka dan pensanitasi tangan berkenaan kepada pusat-pusat daerah mengundi dan pejabat yang mengendalikan perjalanan PRN berkenaan.

“Kita kena pastikan semua pengundi yang berbaris mematuhi SOP ditetapkan dan sekiranya ada pengundi tidak mempunyai pelitup muka pihak yang mengendalikan tempat berkenaan perlu memberikan pelitup muka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd Shafie melancarkan Skim Pinjaman Mikro dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di bawah Pakej Bantuan COVID-19 Kerajaan Negeri Sabah.

Semalam, Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom berkata SPR akan mengambil langkah pencegahan COVID-19 seperti dinasihatkan Kementerian Kesihatan dan apa yang penting adalah kolaborasi SPR dengan agensi terlibat untuk secara bersama merangka serta melaksanakan SOP berkenaan.

Hari Penamaan bagi pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-16 bagi Sabah itu ditetapkan pada 12 Sept dan tarikh mengundi awal pada 22 Sept.

Ditanya mengenai persediaan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sekutunya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menghadapi pilihan raya negeri kali ini, Mohd Shafie yang juga Presiden Warisan, berkata pihaknya sudah bersedia dari sudut pengagihan kerusi dan mengenal pasti calon boleh menang.

“Ini penting bagi kita untuk menentukan hala tuju politik, pembangunan berterusan dan kemajuan di Sabah… apa yang paling penting bagi kita adalah kestabilan politik di peringkat negeri… kalau tidak ada kestabilannya, maka ia tidak akan menggalakkan pelabur luar datang ke Sabah,” katanya.

Mengulas tentang permohonan semakan kehakiman dibuat terhadap keputusan pembubaran DUN Sabah dan tarikh-tarikh penting PRN Sabah yang telah diumumkam, beliau berkata perkara itu tertakluk kepada pihak mahkamah dan SPR.

“…Kita serahkan kepada mahkamah. SPR ada bidang kuasa mereka untuk mengumumkan tarikh-tarikh berkenaan PRN dan mahkamah ada bidang kuasa mereka … begitu juga TYT (Yang Dipertua Negeri Sabah), beliau juga mempunyai bidang kuasa tertentu,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas