Personaliti

Cikgu Melayu di sekolah Cina

- Diterbit 16 Ogos 2020 10:31 AM MYT

KEMAHIRAN berbahasa Mandarin dan mengajar di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Kepong 1, Kuala Lumpur sejak lapan tahun lalu menjadikan Mohd Nazrin Faiz Che Abdul Aziz, 31, antara segelintir pendidik berbangsa Melayu yang petah mengajar di sekolah Cina.

“Semuanya bermula pada tahun 2012 disebabkan keperluan yang mendesak di semua SJK(C) dan kami diserap masuk terlebih dahulu di SJKC dan SJK Tamil kerana ingin memenuhi kekurangan guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah tersebut.

“Kami bermula agak awal daripada kumpulan yang asal, disebabkan memenuhi kriteria dan mempunyai asas komunikasi dalam bahasa Cina, diberi keutamaan untuk dipilih oleh pihak Institut Pengajian Guru (IPG),” kata graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Menceritakan sejarah dirinya, Nazrin berkata, dia dan adik beradiknya diberi pendidikan rendah dan menengah di sekolah Cina kerana bapa mereka menekankan untuk menguasai bahasa ketiga.

“Saya memulakan pendidikan rendah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Peir Chih, Kota Bharu dan kemudian meneruskan pendidikan menengah di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (C) Chung Cheng, Kota Bharu, Kelantan.

“Berbelas tahun bergaul dan berkomunikasi dalam bahasa Cina, membuatkan saya mampu menguasai bahasa Mandarin dengan baik,” katanya yang aktif dengan NGO Parlimen Belia Malaysia.

Kata Mohd Nazrin, dari segi rasa hormat dalam kalangan murid Cina kepada guru-guru berlainan bangsa adalah sama, namun masih ada sebilangan kecil yang agak nakal dan itu merupakan lumrah.

Sememangnya, mungkin ketegasan yang lebih dan kecaknaan ibu bapa di sekolah Cina terhadap pendidikan anak-anak membuatkan mereka lebih fokus kepada kejayaan anak-anak mereka.

Kongsinya lagi, mereka sanggup memperuntukkan sejumlah wang yang banyak setiap bulan untuk membiayai aktiviti sampingan yang boleh mengasah bakat anak-anak mereka.

“Sebagai contoh, mereka akan mendaftarkan kelas komputer pada waktu petang, kelas taekwando dan mempelajari mengenai ‘yoyo Cina’.

“Semua ini berbayar, bukan percuma dan ia merupakan sikap ibu bapa yang sanggup membelanjakan wang yang banyak demi memastikan anak-anak mereka dilengkapi dengan ilmu-ilmu yang bermanfaat,” katanya.

Ujar Mohd Nazrin, antara kisah lucu yang diingati ketika mula-mula ditempatkan di sekolah tersebut apabila tiada rakan-rakan sekerja yang tahu kemahiranya mampu bertutur dalam bahasa Cina.

“Mereka menganggap saya ini seperti guru berbangsa Melayu yang sama seperti guru lain.

“Selepas dua minggu ketika waktu perhimpunan, saya ada memperkenalkan diri dalam bahasa Cina, semua audien terkejut pada masa itu,” katanya sambil menambah bahawa hubungannya dengan rakan sekerja akrab dan sering bantu membantu.

Menurutnya suasana bekerja di SJKC mungkin berbeza di sekolah lain kerana budaya kerja yang agak keras dan cepat.

“Mereka sangat teliti terutama dalam soal masa. Sekiranya lambat mereka akan ‘kejar’ kerana sudah menjadi budaya urusan kerja mesti diselesaikan tepat pada masa,” ujarnya.

Katanya lagi, hubungan yang terjalin amat baik dan pihak sekolah turut menganjurkan lawatan setiap tahun tanpa meminggirkan mana-mana guru.

“Mereka menjaga kebajikan para pendidik dengan baik dan sensitiviti sebagai seorang Muslim turut dijaga terutama soal kebersihan dan makanan halal.

“Kami jarang berhabis duit, malah diberikan pula sumbangan ketika mana-mana guru berkahwin ataupun dikurniakan anak,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas