Fokus

Koperasi sedia penuhi tapak niaga kosong

|ABDUL FATAH
- Diterbit 16 Ogos 2020 8:30 AM MYT

LAMBAKAN bilangan tapak atau lot perniagaan Bumiputera yang dikosongkan di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur, perlu diatasi segera secara berkesan tanpa mengabaikan matlamat awalnya diperkenalkan.

ABDUL FATAH

Bagi Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah, perkara berbangkit harus diteliti dengan mendalam bagi mencari solusi terbaik terutama memastikan objektif yang disasarkan oleh kerajaan tercapai.

Katanya, pengwujudan berbagai lot perniagaan komersil antara usaha membantu meningkatkan ekonomi Melayu dan Bumiputera, namun timbul beberapa kekangan luar jangkaan sehingga telah membataskan kelangsungan peniaga.

“Antaranya ialah faktor semasa seperti penularan pandemik Covid-19 selain faktor sikap segelintir individu mengabai peluang memiliki tapak namun tidak diusahakan, telah mendorong berlakunya lambakan tapak perniagaan terbiar kosong.

“Perkara sebegini tidak sewajarnya berlaku, bagi kami (ANGKASA) yang dianggotai kira-kira 13,000 gerakan koperasi, perlu diberi peluang sama rata untuk memenuhi setiap ruang tapak kosong bagi menjalankan perniagaan. Sudah pasti koperasi bersedia menampung kekosongan ini sekiranya polisi, syarat perniagaan sedia ada, membenarkan,” katanya kepada Wilayahku, di sini.

Abdul Fattah mengulas isu berlakunya lambakan tapak perniagaan untuk Bumiputera yang kosong di beberapa premis komersil sekitar Ibu Negara.

Menurutnya, koperasi ditubuh secara kumpulan lebih sistematik dan diuruskan secara berjemaah sekaligus tidak terikat kepada keputusan individu berbanding peniaga persendirian yang segelintir bebas memulakan atau menutup perniagaan.

Sebagai contoh katanya, kerajaan melalui MARA telah memperuntukkan lebih RM130 juta untuk tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) membina bangunan baharu di tanah sedia ada, meroboh bangunan lama dan membina semula bangunan sebagai memberi wajah baharu dalam usaha memapan persekitaran perniagaan.

“Namun, sejauh mana ruang perniagaan ini diisi oleh usahawan persendirian? Jika ia turut dibuka kepada koperasi bukan sahaja bersedia, malah kami ada berbagai jenis perniagaan yang dilaksanakan oleh ahli secara langsung bermanfaat mengembang lagi ekonomi bukan semata-mata kepada koperasi, sebaliknya juga anggota terdiri daripada rakyat.

“Lebih penting, jika syarat dan polisi perniagaan di tapak-tapak kosong ini membenarkan koperasi terlibat, ia bukan sahaja boleh bantu isi setiap lot kosong, tetapi koperasi ada rantaian perniagaan lebih mapan dan berbagai. Jika ahli gagal penuhi keperluan berniaga semasa, kami masih punyai pilihan menggantikannya dengan ahli lain beserta produk berlainan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas