Berita

“Cetak Rompak ‘Bunuh’ Industri Filem” – ASHRAF MUSLIM

|FILEM Ada Apa Dengan Dosa dicetak rompak dan dijual dengan harga RM1|DATUK Normashayu Puteh kecewa apabila filemnya dicetak rompak
- Diterbit 17 Ogos 2020 9:34 AM MYT

SIAPA tidak marah apabila hasil titik peluh sendiri dicetak rompak, apatah lagi ia melibatkan kos yang besar hingga mencecah jutaan ringgit. 

Dalam keadaan negara yang masih dalam proses pemulihan ekonomi, ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara salah. 

Baru-baru ini, penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa, Datuk Normashayu Puteh bengang apabila filem terbitannya, Ada Apa Dengan Dosa menjadi mangsa ‘penyamun’ cetak rompak digital dengan hanya dijual RM1 menerusi platform e-dagang.

DATUK Normashayu Puteh kecewa apabila filemnya dicetak rompak

Bintang utama filem itu, Ashraf Muslim, 38, turut melahirkan rasa kecewanya apabila masih ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap karya orang lain. 

Baginya, filem ini yang dijual dengan harga RM 1 seolah-olah menjatuhkan maruah penerbit, pengarah, pelakon sekaligus krew yang terlibat.

“Sejujurnya saya terkilan dengan apa yang berlaku. Masih ada yang sanggup menindas sesama sendiri.  

“Kalaulah jenayah ini berterusan, lambat laun, cetak rompak akan ‘bunuh’ industri filem yang juga banyak menyumbang kepada ekonomi negara.

“Sudahlah ramai golongan seni terkesan kerana PKP, jenayah ini sebenarnya menambahkan lagi kesengsaraan kami dalam mencari rezeki,” luahnya yang risau pelakon tidak boleh ‘mencari makan’ jika cetak rompak Makin berleluasa.

FILEM Ada Apa Dengan Dosa dicetak rompak dan dijual dengan harga RM1

Ashraf berkata, penerbit yang mengeluarkan modal cecah jutaan ringgit demi sesebuah filem akan mengurangkan penerbitan filem apabila berlakunya cetak rompak. 

“Kalau penerbit  yang mengeluarkan modal tidak mendapat pulangan sepatutnya atau pun rugi teruk, apatah lagi kami para pelakon ni.

“Bagaimana penerbit mahu menerbitkan filem-filem pada masa akan datang apabila Kos dikeluarkan berjut-juta, tetapi filem dijual dengan harga RM1.

“Saya harap, pelaku yang tidak bertanggungjawab ini menerima hukuman yang setimpal. Semoga ia menjadi pengajaran kepada semua agar tidak sewenang-wenangnya mencuri hasil titik peluh orang lain. 

“Kami sebagai anak seni merasai, bukan mudah untuk pelakon meneruskan kehidupan dalam keadaan ekonomi yang kurang memberansangkan,” ujarnya yang kini aktif dalam bisnes produk minuman kesihatan Honey Di Jiwa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas