Berita

CATS cungkil bakat kanak-kanak B40

PELAJAR teruja mempelajari muzik dan teknik-teknik berkaitan.
- Diterbit 15 Julai 2023 5:00 AM MYT

PROGRAM Muzik Komuniti anjuran Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (CATS) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberi ruang dan ­peluang buat kanak-kanak golongan berpendapatan rendah (B40) ­untuk lebih mengenali alat muzik.

Penyelaras Program dari Unit Muzik Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan DBKL, Al Amin berkata edisi kali ini diadakan bertempat di Perpustakaan Kuala Lumpur dan berjaya mencatatkan seramai 40 peserta.

“Para peserta yang terlibat merupakan kanak-kanak berumur sembilan sehingga 10 tahun dari sekolah di sekitar Kuala Lumpur. Mereka mengikuti program ini secara konsisten dari awal bagi mempelajari muzik seperti bacaan notasi, penggunaan alat ­muzik ukulele dan teknik-teknik yang berkaitan,” katanya.

Tambahnya antara ­objektif ­utama program ini diadakan ­adalah untuk mewujudkan ­aktiviti muzik kepada kanak-kanak terutama mereka daripada golongan B40.

“Melalui pembelajaran ­secara percuma ini, mereka dapat ­belajar muzik dengan sistematik. Secara tidak langsung ­dapat mencungkil bakat-bakat baru yang berpotensi untuk digilap,” ujarnya.

Al Amin berkata rata-rata guru pengiring, ibu bapa serta ­peserta terlibat memberi maklum balas yang positif dan turut mengharapkan agar program seperti ini dapat diteruskan.

Ia turut mendapat ­kerjasama Program Local Agenda (LA21), Perpustakaan Kuala Lumpur dan Pejabat Pendidikan Daerah. Program siri 1 mula diadakan pada 28 Mei 2022 di mana peserta didedahkan dengan alat muzik asas yang digunakan di dalam persembahan orkestra. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas