CAP gesa Jabatan Perikanan, JAS siasat dan dedah hasil ujian sampel air Sungai Perai

CAP gesa Jabatan Perikanan, JAS siasat dan dedah hasil ujian sampel air Sungai Perai

PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mendedahkan segera hasil ujian sampel air dan ikan yang mati di Sungai Perai, Selasa lepas.

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata langkah tersebut perlu dilakukan kerana kejadian tersebut amat serius dan menimbulkan kebimbangan orang ramai setelah ribuan ikan menjadi mangsa pencemaran sungai.

“CAP kesal dengan kejadian tersebut dan menggesa Jabatan Perikanan Pulau Pinang dan JAS supaya menyiasat serta mengenal pasti punca sebenar masalah itu serta mendedahkan segera hasil ujian sampel air dan ikan yang mati di Sungai Perai, pada 9 Feb lepas.

“Malah, CAP sebelum ini menerima banyak rungutan dari orang ramai bahawa terdapat kilang-kilang industri yang membuang sisa selepas waktu pejabat bagi mengelak dikesan dan diambil tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, CAP percaya jika masalah pencemaran sungai tersebut berlarutan ia bukan sahaja boleh menyebabkan ikan di dalam sungai tersebut pupus dan menjejaskan sumber pendapatan nelayan tempatan tetapi juga akan merebak ke laut berhampiran serta mengancam pembiakan kerang di kawasan itu.

“CAP tidak mahu nasib Sungai Perai menjadi seperti Sungai Juru kerana ikan, udang dan kerang di situ mati akibat diancam pencemaran sisa toksik dari kawasan perindustrian berhampiran,” katanya.

Mohideen berkata, CAP turut memohon Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk melakukan pemantauan secara menyeluruh bagi memastikan kilang-kilang industri yang terdapat di sepanjang Sungai Perai supaya mematuhi segala peraturan yang termaktub di bawah undang-undang sedia ada.

“CAP juga menyokong cadangan Ketua Pengarah JAS Norlin Jaafar supaya Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dipinda bukan saja bagi meningkatkan jumlah penalti maksimum dari RM500,000 kepada RM10 juta tetapi juga memberi lebih kuasa kepada agensi itu untuk bertindak di luar waktu pejabat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang Noraisyah Abu Bakar ketika dihubungi berkata pihaknya telah mengambil sampel air Sungai Perai semalam selepas dimaklumkan berhubung penemuan bangkai ikan daripada nelayan di kawasan tersebut.

Katanya, lima sampel di lokasi berbeza diambil dari sungai itu dan dihantar ke Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) di Batu Maung dekat sini bagi mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk membuat aduan kepada Jabatan Perikanan jika melihat kes kematian ikan secara besar-besaran supaya pihaknya dapat bertindak segera. – BERNAMA

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )