Berita

Saranan beri elaun tambahan kepada pekerja Personel MySTEP

SARANAN Pratap Ravichandran.
- Diterbit 11 Februari 2021 5:08 AM MYT

MASALAH kegawatan ekonomi dan pandemik yang melanda dunia ketika ini telah menyebabkan ramai pekerja berhadapan dengan masalah kewangan ekoran pemotongan gaji atau elaun, tidak terkecuali oleh pekerja kerajaan sendiri.

Justeru itu, para pekerja di bawah Personel MySTEP yang diambil untuk berkhidmat menyarankan kepada kerajaan untuk dibayar elaun tambahan, terutamanya elaun lebih masa, elaun perjalanan, elaun harian dan elaun makanan seperti mana yang dibayar kepada para Pekerja Sambilan Harian (PSH) sebelum ini.

Elaun tambahan sebegitu mampu meringankan beban para pekerja di bawah Personel MySTEP dalam menanggung kos sara hidup mereka ketika pandemik COVID-19 yang masih belum kelihatan pengakhirannya dalam masa yang terdekat ini.

Seperti mana yang kita ketahui, kerajaan telah memperkenalkan inisiatif yang terbaik untuk golongan graduan belia yang telah kehilangan pekerjaan berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara kita.

Di atas keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, Belanjawan 2021 yang telah dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, salah satu inisiatif pekerjaan adalah untuk Personel MySTEP sendiri.

Meskipun para pekerja di bawah Personel MySTEP diberikan kemudahan kadar upah yang tetap mengikut jenis pekerjaan dan syarat-syarat kelayakan mengikut kategori pengajian tertinggi bagi setiap individu dan dicarumkan KWSP serta PERKESO, tetapi ia dilihat masih tidak mencukupi untuk menanggung kos sara hidup yang mengekang tahap kewangan mereka.

Sementara itu, adalah disarankan agar para pekerja yang dilantik dalam jawatan Personel MYSTEP diserap ke dalam jabatan kerajaan sendiri setelah ataupun sebelum kontrak mereka tamat.

Ini sudah semestinya buat para pekerja yang merekodkan prestasi dan pencapaian yang cemerlang semasa bertugas dalam tempoh kontrak mereka.

Perkara ini diketahui melalui pandangan dan pendapat daripada beberapa rakan yang sedang berkhidmat dalam jawatan Personel MySTEP di beberapa jabatan kerajaan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berkenaan dengan inisiatif tersebut.

Mesej dan saranan ini adalah berdasarkan pandangan dan pendapat daripada para pekerja berjawatan Personel MySTEP kepada kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat sendiri, terutamanya dalam golongan belia.

Pratap A/L Ravichandran
Koordinator Media
Pemuda Negara Parlimen Kepong

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas