Berita

Cadangan, gurauan tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh dinormalisasikan

- Diterbit 9 Januari 2024 7:15 PM MYT

CADANGAN ataupun gurauan yang tidak sensitif terhadap wanita tidak boleh dijadikan normlisasi apabila ia secara terangan bercanggah daripada pelbagai sudut undang-undang, prinsip serta nilai kekeluargaan dan budaya serta agama.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata apa jua cadangan yang meletakkan wanita sebagai ‘alat’ untuk menyelesaikan masalah sosial adalah sebagai merendahkan martabat kaum wanita.

Nancy menegaskan, pihak kementerian sentiasa memberi fokus terhadap usaha-usaha memperkasa wanita dan mengarusperdanakan gender melalui pelbagai program bagi meningkatkan penglibatan dan kapasiti wanita dalam pelbagai sektor di semua peringkat bagi menyumbang dan menjadi agen pembangunan negara.

“Kerajaan turut menyediakan ekosistem terbaik dan persekitaran yang kondusif bagi membolehkan wanita mempunyai peluang yang adil untuk mendapat tempat serta memiliki kerjaya yang baik dan bermaruah, sama seperti peluang yang dimiliki oleh kaum lelaki.

“Pihak kementerian juga sentiasa mempunyai sifar telorensi dalam apa jua bentuk keganasan terhadap wanita, sama ada secara fizikal, seksual, emosi, mahupun psikologi dan pendirian ini didorong penuh oleh Kerajaan Malaysia sejak dahulu lagi dan disokong merentasi kementerian,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, justeru itu, kesedaran dan publisiti yang positif terhadap hak dan sistem sokongan kepada wanita yang perlu ditanam dan disebarkan kepada rakyat umum dan bukan sebaliknya.

“Saya percaya rakyat Malaysia adalah rakyat yang berilmu dan bertamadun, dan kita perlulah bertindak dengan lebih baik serta bijak di masa hadapan terutamanya untuk menonjolkan contoh yang terpuji kepada generasi yang akan datang,” katanya.

Semalam media melaporkan, pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berasakan perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas