Auto

BX150 ditambah baik dengan ciri penjimatan brek

BX150X
- Diterbit 11 September 2021 2:00 AM MYT

MENGEKALKAN kesederhanaan, BX150 yang hadir dalam tiga variasi tetap memiliki reka bentuk klasik dan mewah.

Selepas melancarkannya kira-kira tiga tahun lalu, pihak MForce melakukan penambahbaikan dari segi penampilan dan corak.

MForce Bike Holdings Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan, ketiga-tiga model berkenaan dilengkapi dengan enjin 149cc, empat lejang, SOHC yang berkuasa menghasilkan 11Hp pada
8,000rpm dan 11.9NM pada 6,000rpm.

“Model yang menggunakan suntikan bahan api ini turut dipadankan bersama transmisi lima kelajuan.

“Ketiga-tiga variasi ini menggunakan fork hadapan teleskopik dan di belakang terdapat dua penyerap hentak dengan sepasang cakera brek bagi membantu dengan daya hentinya,” katanya.

Menambahkan lagi ciri keselamatan, ujarnya, kini brek hadapan dan belakang menggunakan sistem brek bergabung (CBS) iaitu antara ciri yang menjimatkan untuk sistem brek yang selamat.

Selain itu, katanya, antara elemen yang menjadikan tunggangan Brixton BX150 mudah dan selesa adalah tempat duduk rata serta lebar di samping memiliki dimensi yang sempurna.

“Keadaan itu membuatkan pengunanya lebih yakin semasa menunggang. Koleksi BX150 juga membawa tangki bahan api sebanyak 14 liter di mana ia mampu mengembara jauh dari yang dibayangkan.

BX150

“Pada bahagian kokpit, terdapat meter analog yang digabungkan dengan speedometer digital yang mudah ditafsir dan difahami.

“Setiap jenis Brixton ini dijual pada harga asas dan warna yang berlainan. Harga jualan untuk model BX150 bermula dengan RM10,488 (hitam dan hijau gelap), RM10,788 (hitam matte dan kelabu matte) untuk scrambler BX150X manakala RM11,088 (merah dan kelabu) untuk BX150R,” jelasnya.

BX150R

Tambah kenyataan itu, dengan setiap pembelian mana-mana model Brixton BX150, pembeli boleh menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 kilometer (yang
mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian MForce Bike Holdings Sdn Bhd.

Untuk makluman, model ini hadir dalam tiga variasi iaitu BX150 standard memiliki penampilan klasik, BX150X merupakan jenis scrambler manakala BX150R pula menonjolkan gaya café racer. – NAZWIN NAZRI

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas