Berita

Bukti prestasi cemerlang, PPj raih dua anugerah antarabangsa di Malta

ANTARA wakil PPj yang menerima LivCom Awards baru-baru ini.
- Diterbit 23 Jun 2023 10:00 AM MYT

PRESTASI cemerlang Perbadanan Putrajaya (PPj) diiktiraf di Valletta, Malta apabila projek kendaliannya menerima dua Anugerah Perak (Silver Awards) di The 21st International Awards for Liveable Communities (LivCom Awards) 2023 baru-baru ini.

Menurut Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, anugerah yang diterima pihaknya adalah di bawah dua kategori iaitu Whole City Award bagi Single City Category menerusi Projek Putrajaya Command Centre (PCC): A Holistic and Collaborative Approach to a City Command Centre serta Environmental Sustainability Project Awards menerusi Projek Putrajaya Lake and Wetland – a Nature-based Solution for Improving Environmental Quality, Health and Wellbeing.

“LivCom Awards pada tahun 2023 telah mempertandingkan tiga kategori utama iaitu Whole City Award, Project Award dan Technology and Solution Award yang mana sebanyak 22 bandar serta 33 projek dari 24 buah negara telah disenarai pendek daripada 230 penyertaan yang telah diterima untuk dipertandingkan di pusingan akhir.

“Antara negara-negara yang layak ke peringkat akhir adalah Malaysia, Poland, Portugal, Chinese Taipei, Mesir, Slovenia, PR China, Turkiye, Filipina, Spain, Bangladesh, UAE, Albania, Italy, India, Jerman, Hungary, Mexico, Nepal, Herzegovina, Latvia dan United Kingdom,” ujar beliau kepada Wilayahku.

Fadlun berkata tema pada tahun ini juga sememangnya sangat istimewa kerana ianya memberi penekanan terhadap komponen projek yang menyumbang kepada pencapaian sesebuah bandar mesra warga emas.

“Bagi PCC, ia menjadi satu kebanggaan memandangkan projek ini merupakan satu-satunya pemenang di bawah kategori Whole City Award bagi Single City Category sekali gus sebagai satu pengiktirafan dunia terhadap Malaysia dan Putrajaya khususnya dalam pembangunan bandar pintar bertaraf dunia.

“Selain itu, PCC juga berjaya membuktikan bagaimana teknologi serta kepakaran tempatan mampu menghasilkan satu penyelesaian bandar pintar yang inklusif dan diiktiraf dunia,” jelasnya anugerah ini merupakan anugerah antarabangsa pertama yang telah diterima oleh PCC sejak ia mula beroperasi pada tahun 2018.

Terdahulu, PCC pernah menerima Anugerah Emas di dalam kategori Innovation Planning daripada Malaysia Institute of Planning (MIP) di peringkat kebangsaan bersempena MIP Planning Excellence Awards 2022.

Dalam masa sama, Fadlun berkata usaha pihaknya membangunkan tasik dan wetland Putrajaya sebagai pendekatan berasaskan alam semula jadi (nature-based solution) untuk meningkatkan kualiti alam sekitar, kesihatan dan kesejahteraan ke arah meningkatkan kualiti hidup penduduk Putrajaya juga telah berjaya menambat hati juri dan diberi pengiktirafan.

“Anugerah ini secara langsung membuktikan pencapaian tasik dan wetland Putrajaya sebagai lokasi unggul untuk aktiviti sukan dan rekreasi air, tapak dan prasarana sokongan bagi pelaksanaan aktiviti kebudayaan, ekonomi dan ekopelancongan, tapak pembersihan bahan cemar, tapak kajian, tapak pendidikan luar bilik darjah, lokasi penyelidikan dan pendidikan ilmiah serta tapak penanda aras pengurusan badan air di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, wetland juga berperanan penting sebagai struktur penebat banjir, tapak penuaian air hujan skala bandar, berfungsi sebagai sinki karbon, habitat pelbagai fauna serta bank genetik tumbuhan,” ujar beliau penyertaan pihaknya dalam LivCom Awards adalah tidak asing lagi kerana pada tahun 2012, PPj berjaya menggondol tiga anugerah menerusi Whole City Awards (Category C: Population 75,001-150,000) dan Project Awards (Natural Category) yang diadakan di Al Ain, United Arab Emirates. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas