Berita

Buka ruang lebih ramai ahli memilih pimpinan tertinggi PKR

- Diterbit 16 Disember 2024 12:49 PM MYT

PINDAAN perlembagaan PKR berhubung proses pemilihan parti yang diluluskan hari ini membolehkan lebih ramai ahli daripada pelbagai latar belakang terlibat dalam proses pemilihan kepimpinan tertinggi parti.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata pindaan itu membolehkan peningkatan kepada jumlah perwakilan yang memilih kepimpinan parti berikutan proses pemilihan akan diadakan secara fizikal dan hibrid.

“Pertama meminda perlembagaan tentang perwakilan layak ke kongres tahunan dan juga kongres tahunan yang ada pemilihan parti.

“Tahun yang tiada pemilihan parti, kita kekal dalam perlembagaan yang sama. Tidak ada perwakilan tambahan dan juga perwakilan biasa.

“Sekarang ada penambahan perwakilan tambahan, perwakilan biasa dan perwakilan cabang. Itu kita pinda,” katanya ketika ditemui pada Kongres Nasional Khas PKR.

Menurut Azman terdapat syarat yang akan ditentukan nanti.

Beliau berkata antaranya bagi memastikan imbangan etnik dan gender mewakili setiap peringkat cabang.

“Maksudnya peringkat cabang tak boleh satu kaum sahaja.

“Penyertaan semua kaum terlibat mengikut kawasan tersebut dan gender kita akan beri peluang lebih ramai. Tak nak semua lelaki sahaja. Mesti ada juga wakil daripada wanita,” katanya.

Sementara itu Azman keseluruhan cabang seluruh negara ada 30,000 perwakilan akan menentukan pimpinan tertinggi PKR.

Beliau berkata ini jawatan daripada presiden hingga Majlis Pimpinan Pusat (MPP)

Terdahulu, pindaan perlembagaan parti berkait proses pemilihan parti yang diluluskan itu membolehkan jumlah perwakilan yang akan mengundi bagi enam jawatan tertinggi parti serta 20 anggota MPP di Kongres Nasional ditingkatkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas