Berita

Budayakan elemen amanah, kepercayaan dalam kerja berpasukan – PM

- Diterbit 7 Februari 2023 2:53 AM MYT

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam bekerja sebagai satu pasukan yang menerapkan elemen amanah dan kepercayaan dalam budaya kerja.

Jelasnya, elemen berkenaan harus diterapkan dalam usaha membebaskan segala ketelanjuran yang pernah berlaku dan mungkin berlaku dan pada masa sama terdapat banyak ruang untuk diperbaiki dengan semangat membawa perubahan untuk memperlihatkan satu keadaan lebih baik melalui kerjasama pasukan pimpinan dan komitmen penjawat awam.

“Ada pihak yang menegur tak patut saya menyebut perkara lama namun imej negara, ekonomi negara dan keterlanjuran yang berlaku itu tidak boleh dinafikan malah haris ada kekuatan dan tekad baharu daripada semua kalangan.

“Disebabkan itu, pada setiap kali perjumpaan dengan penjawat awam saya akan gesa kerana jika mahu menentukan kejayaan ‘pembebasan’ ini, ia tidak hanya melibatkan tokoh-tokoh politik sebaliknya harus disertai dengan semangat dan komitmen menyeluruh penjawat awam, katanya dalam perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi bulan Februari 2023 di Putrajaya pada Selasa.

Perdana Menteri berkata, meskipun mempunyai sejarah pertelingkahan besar terutamanya dengan Timbalan Perdana Perdana, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Anwar berkata ia dapat diketepikan dan bekerjasama demi mengangkaty konsep Malaysia Madani yang menjadi panduan dalam pentadbirannya.

“Saya dari segi peribadi setakat ini pasukan kerja nampak, walaupun (terdapat) latar belakang pelbagai dan sejarah pertelingkahan dan pergaduhan besar terutama Timbalan Perdana Menteri di kanan saya, tetapi Alhamdulillah tidak boleh dinafikan adalah kesatuan pemikiran dan tekad itu wujud,” katanya.

Beliau turut mengakui terdapat kesungguhan dalam kerja berpasukan yang ditunjukkan itu seperti dalam perihal pengurusan pekerja asing serta banjir dan penghantaran segera Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) ke Turkiye. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas