Berita

Budaya ilmu di PREPKOM beri impak positif kepada komuniti PPR/PA

NOR YATI (kiri) mengajar kanak-kanak PPR/PA Hiliran Ampang menggunakan komputer.
- Diterbit 20 Mei 2023 12:00 AM MYT

ENAM tahun berkhidmat sebagai penyelia di Pusat Pemerkasaan Pendidikan Dan Komuniti (PREPKOM), Hiliran Ampang, Cheras merupakan pengalaman berharga buat Nor Yati Kamarudin, 48.

Baginya tempoh tersebut membolehkannya memberi khidmat kepada masyarakat di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA).

“Saya bukan sahaja dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai pekerja malah dapat mengendalikan program komuniti bersama pihak luar untuk penduduk di sini.

“Walaupun ruang di PREPKOM ini kecil tetapi jalinan silaturahim bersama komuniti melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan seperti kelas mengaji, membaca kanak-kanak dan sebagainya memberi impak yang positif,” ujarnya.

Katanya, inisiatif Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dalam menubuhkan PREPKOM perlu dipuji dan dicontohi kerana aktiviti yang dilakukan membolehkan penduduk melakukan perkara berfaedah bagi mengisi masa lapang.

“Sebagai contoh pelajar di sini mengambil kesempatan mengulang kaji pelajaran di ruangan ini. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai tempat yang selesa untuk belajar kerana ruang di rumah mereka agak sempit.

“Kelas membaca untuk kanak-kanak juga cukup membantu mereka membaca dengan lebih lancar. Budaya ilmu yang diwujudkan di ruangan tersebut saya kira memberi kesan yang baik kepada penduduk,” ujarnya.

Nor Yati juga turut mengucapkan terima kasih kepada YWP khususnya kepada Kamaruzaman Mustapha kerana memberi peluang kepadanya untuk berkhidmat sepanjang tempoh tersebut.

“Ini merupakan hari terakhir saya berkhidmat kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun lalu,” ujarnya yang turut berharap PREPKOM dimanfaatkan oleh komuniti serta lebih banyak aktiviti dijalankan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas