Berita

Pasukan Seaborg ungguli Daiwa Deep Sea Challenge 2023 sempena LISC

PASUKAN Seaborg bergambar sejurus diumumkan sebagai juara Daiwa Deep Sea Challenge 2023.
- Diterbit 20 Mei 2023 1:00 AM MYT

PASUKAN Seaborg yang dianggotai sembilan orang pemancing dari Perancis, Sabah dan Labuan berjaya meraih sebagai juara Daiwa Deep Sea Challenge 2023 sempena Labuan International Sea Challenge (LISC 2023).

Selain berjaya membawa pulang hasil tangkapan seberat 113 kilogram (kg), pasukan tersebut turut menerima hadiah wang tunai bernilai RM40,000 beserta trofi.

Sementara itu, salah seorang ahli pasukan Seaborg, Samuel Bonging yang berasal dari Labuan muncul pemancing terbaik kerana berjaya memperoleh tangkapan ikan kerapu gergasi seberat 77kg pada cabaran tersebut.

Seterusnya naib johan dimenangi pasukan Hongkong Ocean Blue 1 dengan tangkapan ikan seberat 75kg sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM5,000 diraih pasukan Siblin Tackle 1 dari Perak dengan tangkapan ikan seberat 70.2kg.

Manakala bagi kategori individu pemancing Sabah, Goldie James muncul sebagai johan dengan tangkapan ikan Dogtooth Tuna seberat 24.82kg, diikuti naib johan Pawesta Wen dengan tangkapan ikan Yellowfin Tuna seberat 19.32kg dan tempat ketiga pula dimenangi Chin Yun Ngen dengan tangkapan ikan Ruby Snapper seberat 16.68kg.

Kesemua mereka menerima hadiah wang tunai RM500 dan peralatan memancing DAIWA. Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail.

Terdahulu, acara Daiwa Deep Sea Challenge 2023 menyaksikan penyertaan yang tertinggi berbanding tahun sebelumnya.

Pertandingan yang berlangsung selama lima hari bermula 9 hingga 14 Mei itu dianjurkan oleh Perbadanan Labuan dengan kerjasama Kelab Ekstrem GHRT dan Feel Alive mendapat penyertaan menggalakkan dari dalam dan luar negara antaranya Perancis, Hong Kong, Brunei dan Australia. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas