Berita

Budak lelaki empat tahun mati tercekik gula-gula jeli

Gambar hiasan
- Diterbit 22 Mei 2020 3:11 PM MYT

LABUAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut dipercayai akibat tercekik gula-gula jenis jeli di rumahnya di Kampung Batu Manikar di sini semalam.

Mangsa disahkan telah meninggal dunia kira- kira pukul 9 malam semasa dalam perjalanan ke Hospital Labuan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu selepas dihubungi pihak Hospital Labuan.

“Siasatan awal terhadap ibu kanak-kanak terbabit memaklumkan bahawa pada hari kejadian ketika berada di rumah, mangsa meminta gula-gula jenis jeli.

“Selepas mangsa memakan gula-gula berkenaan, wanita itu mendapati anaknya tercekik.

“Ibu kanak-kanak terbabit kemudian berusaha mengeluarkan gula-gula itu daripada kerongkong anaknya (mangsa) tetapi gagal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Farid berkata, wanita itu mengambil keputusan untuk membawa mangsa ke Hospital Labuan untuk tindakan lanjut.

“Setelah tiba di Wad Kecemasan Hospital Labuan, pemeriksaan lanjut terhadap mangsa dijalankan dan didapati kanak-kanak terbabit meninggal dunia.

“Pihak hospital akan menjalankan bedah siasat selepas analisis sampel spesimen mangsa diperoleh sama ada positif
Covid-19 atau pun tidak,” katanya sambil memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas