Berita

Bintang AC Milan Ibrahimovic dijangkiti COVID-19

- Diterbit 25 September 2020 4:30 AM MYT

PENYERANG AC Milan, Zlatan Ibrahimovic didapati positif COVID-19 pada Khamis, lapor agensi berita Xinhua.

Berita mengenainya muncul sehari selepas rakan sepasukannya, Leo Duarte, pemain pertahanan dari Brazil, juga diuji positif.

Berikutan itu AC Milan terpaksa beraksi tanpa kelibat dua bintang yang memperoleh gaji paling tinggi.

Kontrak terbaru Ibrahimovic, dilaporkan bernilai EUR7 juta (AS$8.4 juta) untuk membawanya kembali beraksi dengan AC Milan.

Duarte diuji positif selepas menjalani saringan COVID-19 pada Selasa. Menurut peraturan Serie A, pemain yang didapati positif secara automatik perlu melakukan ujian kali kedua.

Dalam catatan media sosial, Ibrahimovic mengatakan beliau tidak menunjukkan gejala dan berjanji untuk memastikan dirinya cepat sembuh.

Dalam satu kenyataan, AC Milan berkata pihak berkuasa kesihatan Itali mengarahkan Ibrahimovic dan Duarte menjalani kuarantin di rumah.Hasil ujian semua pemain dan pegawai lain yang turut menjalani saringan didapati negatif. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas