Berita

Biden guna pakai pendekatan “bersabar dan berstrategi” dengan China

- Diterbit 26 Januari 2021 10:50 AM MYT

PRESIDEN Joe Biden akan menguna pakai pendekatan “bersabar dan berstrategi” dengan China ketika Amerika Syarikat (AS) berunding di peringkat dalaman dan dengan sekutu mengenai cabaran yang semakin meningkat, lapor Agensi Anadolu.

“Kita lihat sejak beberapa tahun ini, China semakin tegas di dalam negeri dan lebih mendesak di luar negara dan Beijing kini menjadi cabaran terhadap keselamatan, kemakmuran dan nilai kita dengan ketara dan memerlukan satu pendekatan baharu Amerika.

“Kita mahu menggunakan pendekatan ini dengan beberapa aspek ‘kesabaran strategik’,” kata Jurucakap Rumah Putih, Jen Psaki kepada pemberita.

Pentadbiran Biden kini sedang melakukan semakan antara jabatan mengenai dasar menyeluruh terhadap China, termasuk dagangan dan bidang komersial, selain berunding dengan Kongres serta sekutu asing mengenai kaedah terbaik untuk meneruskan hubungan.

Psaki berkata, Biden akan menunggu semakan berkenaan selesai sebelum memutuskan kaedah terbaik untuk mengambil sebarang tindakan, tetapi menekankan, pendekatan presiden adalah “multilateral.”

“Presiden komited menghalang pencabulan ekonomi China pada banyak bidang dan cara paling berkesan untuk melakukannya adalah dengan bekerja dengan sekutu dan rakan kongsi yang lain,” kata Psaki.

Pendekatan itu nyata amat berbeza dengan pentadbiran Presiden Donald Trump yang sebelum ini sering bertelagah dengan Presiden Xi Jinping, bermula dengan isu dagangan dan kemudiannya berhubung cara Beijing mengendalikan wabak COVID-19.

Trump secara peribadi menyalahkan pegawai China berhubung krisis kesihatan tersebut dan sering mengaitkan virus itu dengan China dalam banyak kenyataan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas