Berita

Anggota polis marin berpangkat koperal berdepan 43 pertuduhan terima rasuah

- Diterbit 26 Januari 2021 10:43 AM MYT

SEORANG anggota polis marin berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah membabitkan jumlah suapan lebih RM146,000 sejak 2016 hingga 2019.

Zubairi Abdul Mutalib, 60, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini.

Dia didakwa sebagai ejen kerajaan, iaitu anggota Polis Diraja Malaysia berpangkat koperal yang bertugas sebagai Ketua Jentera Bot Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kg. Acheh, Sitiawan, telah secara rasuah memperoleh melalui pindahan wang daripada akaun simpanan Ambank Cawangan Kuala Sepetang bernombor akaun 1140010003293 milik Lim Mee Lan untuk dirinya satu suapan iaitu wang tunai bernilai antara RM150 hingga RM4,750.

Mengikut pertuduhan, suapan itu adalah sebagai dorongan agar tertuduh tidak mengambil tindakan terhadap 18 bot yang melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Zubairi didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Berhad, Cawangan Sitiawan antara 1 Mei 2016 hingga 30 Julai 2019 mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Dia turut berdepan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin namun gagal dilunaskan kerana kesuntukan masa berikutan pendakwaan yang berlanjutan sehingga 4.30 petang.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nurul Wahida Jalaluddin manakala Zubairi diwakili peguam Muhammad Aizat Fakri.

Terdahulu, Nurul Wahida menawarkan jaminan sebanyak RM40,000 memandangkan tertuduh seorang penjawat awam yang tidak terjejas pendapatan selain bagi menunjukkan keseriusan kesalahan manakala Muhammad Aizat memohon jaminan rendah kerana Zubairi menanggung isteri, dua anak serta ibu yang berusia 79 tahun.

Esok, tertuduh dijangka sekali lagi dihadapkan ke mahkamah atas 101 lagi pertuduhan menerima rasuah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas