SELAMA lebih sebulan, serigala kehausan darah daripada rejim zionis Israel meratah saudara-saudara kita di Gaza secara hidup-hidup. Yang berlaku di Gaza itu bukan peperangan.
Ia juga bukan pembunuhan sebaliknya satu pembunuhan beramai-ramai dilakukan oleh tentera zionis Israel terhadap warga Palestin. Pembunuhan beramai-ramai atau genocide diharamkan oleh undang-undang antarabangsa semasa Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1946.
Maknanya yang dilakukan oleh rejim zionis itu adalah satu jenayah perang dan pelakunya, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netayahu boleh didakwa di mahkamah antarabangsa. Tetapi seperti yang semua orang sedia maklum, undang-undang kerap kalinya sekadar undang-undang.
Biarlah perkara itu kita bincangkan pada forum yang lain. Sebaliknya tulisan ini lebih pada rasa kemanusiaan yang menghubungkan kita dengan mereka yang sedang berdepan maut di Gaza. Tali perhubungan itu tidak kelihatan, ia hanya dirasa di jiwa yang ada manusia dalamnya.
Setakat ini sudah berbelas ribu warga Palestin terkorban, sebahagian daripadanya adalah kanak-kanak. Ya, kanak-kanak itu mungkin sebaya dengan anak-anak kita, adik-adik kita yang seharusnya dilindungi daripada segala mara bahaya.
Manusia baik di atas muka bumi ini saling berhubungan antara satu dengan lain melalui rasa kemanusiaan. Pertalian itu tidak pernah putus selagi manusia mempunyai rasa yang sama terhadap manusia lain. Ia merentas garis agama, budaya dan geografi.
Adalah suatu yang biasa sekiranya kita rasa terganggu atau ikut berduka atas tragedi yang terpaksa diharungi oleh warga Palestin di Gaza. Rasa itu lahir daripada manusia yang tinggi kemanusiaannya. Dan tidaklah manusia namanya kalau tanpa kemanusiaan – contohnya rejim zionis Israel.
Maka bersyukurlah kalau ikut rasa terganggu dan berfikir tentang nasib orang lain yang tidak sebaik yang kita lalui. Ibaratnya, berat mata kita memandang, berat lagi bahu yang memikul. Tetapi kepada warga Palestin, berat lagi jiwa yang tiga suku abad berdepan dengan musibah.
Umpama cubit di paha kanan, paha kiri juga terasa. Begitulah antara warga Palestin dan kita di negara ini yang dihubung oleh rasa kemanusiaan yang sejagat. Maka tragedi yang berlaku di Gaza itu, malah tragedi-tragedi lain juga semestinya turut dirasakan oleh semua dalam kalangan kita.
Golongan yang berkemampuan dari segi kewangan dan kebendaan memperlihatkan rasa simpati dan kebersatuan (solidariti) dengan menghulurkan derma. Tetapi yang tidak mampu menghulurkan derma berbentuk kebendaan, mereka boleh menyumbang dengan turut memperlihatkan simpati. Jangan memperemehkan simpati, ia begitu tinggi nilai kemanusiaannya.
Hal itu membuktikan bahawa bantuan bukan sahaja berbentuk benda. Sokongan moral, simpati dan doa juga adalah bantuan kepada saudara-saudara kita yang terkepung di Gaza. Dari sudut yag lain, sikap sedemikian menjadikan kita lebih bersyukur dan insaf dengan nikmat keamanan di negara ini.
Negara kita berada dalam suasana berkabung sebaik sahaja berlakunya tragedi pembunuhan beramai-ramai itu. Sekalipun tidak diisytiharkan secara rasmi oleh mana-mana pihak, hakikatnya mereka yang mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi sudah dan sedang berkabung.
Itu adalah satu bentuk sokongan moral yang mampu dizahirkan tanpa sesuatu yang bernilai ringgit dan sen. Maka kita semua yang bersimpati dengan kesan kekejaman di Gaza sedang berkabung – menghindarkan diri daripada sesuatu yang membawa kita lupa pada keganasan di Gaza.
Kita wajar menghindarkan diri daripada bercakap atau menyertai segala sesuatu yang bercorak pesta kegembiraan atau hiburan. Itu juga merupakan salah satu cara kita membantu iaitu memahami dan menyelami rasa saudara kita yang berada di sana.
Mempertingkatkan sedar dan insaf adalah membina kekuatan bagi berdepan dengan ujian hidup pada masa depan. Maknanya kalau hal yang seperti itu pun tidak memagut rasa kemanusiaan kita, cerminan kehidupan menerusi tragedi Gaza itu berlalu dengan sia-sia.
Maka wajarlah sesetengah dalam kalangan kita terus bergembira dan melupakan di satu penjuru dunia ada manusia sedang menderita, antara hidup dan mati di mana bezanya hanyalah waktu.
Penyanyi tersohor Siti Nurhaliza difahamkan telah membatalkan konsert yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi. Tindakan itu sebagai menghormati dan turut berbahagi rasa dengan warga Palestin di Gaza. Siti Nurhaliza melakukan satu tanggungjawab peribadi sebagai manusia yang ada rasa kemanusiaannya.
Tindakan Siti Nurhaliza itu sama seperti yang dilakukan dalam masyarakat kita – kalau jiran atau orang sekampung ditimpa musibah, tidak ada orang kampung menganjurkan acara-acara keramaian. Dalam skala yang besar apa lagi dengan teknologi maklumat yang canggih, antara Gaza dengan kita sangat dekat jaraknya.
Siti Nurhaliza dikatakan hanya melibatkan diri dengan persembahan yang bertujuan amal untuk mengutip sumbangan bagi warga Palestin. Sikap yang seperti itu tentulah suatu yang sangat terpuji, dilakukan pula bukan kerana desakan peraturan. Sebaliknya lahir daripada kesedaran dan rasa kemanusiaan.
Sebenarnya memang tidak ada peraturan yang melarang penganjuran konsert hiburan ketika umat Islam di Gaza dizalimi dan dibunuh. Tidak ada. Sementara stesen televisyen juga tidak diarahkan menghentikan buat seketika rancangan hiburan termasuk yang seperti tidak ingat dunia.
Walaupun begitu mereka yang dianugerahkan kesedaran dan keinsafan akan menghindarkan diri dengan rela hati. Tentu sahaja tindakan seperti itu tidak difahami oleh semua, kecuali yang mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi.
Tentu ada yang berkata kalau kita berkabung dan tidak berhibur pun bukannya boleh menghentikan keganasan tentera zionis Israel di Gaza. Berkabung atau tidak, sama sahaja hasilnya. Malah merugikan kerana melakukan kerja yang sia-sia.
Tidak menghentikan tindakan ganas itu mungkin benar, akan tetapi bukan satu kerja yang sia-sia. Ini kerana tindakan itu berupaya membentuk jiwa kita menjadi manusia dari luar dan dalamnya.
Semua yang diperkatakan ini adalah bersifat individu. Memetik kisah tragis di Gaza sebagai satu renungan hidup atau sekadar melintas di garis masa adalah tindakan bersifat individu. Kalau hanya dipaksa oleh peraturan tetapi tidak dilakukan dengan sepenuh jiwa, tentulah tidak ada maknanya.
Kalau ada pihak yang menganjurkan konsert, itu pilihan mereka. Begitu juga kalau stesen televisyen yang terus-menerus memuatkan isi kandungan menjurus hiburan semahu-mahunya, itu juga pilihan mereka. Bagaimanapun sebagai individu, kita juga ada pilihan – sama ada menyekutukan diri atau menjauhkan diri.
Sebagai individu yang hidup dan bertamadun, semestinya kita mempunyai rasa yang tinggi terhadap sesama manusia. Akal dan fikiran yang dianugerahkan itu menuntut kita melakukan sesuatu tindakan yang baik tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak. – WILAYAHKU
– Ku Seman Ku Hussain, Wartawan bebas