Artikel

Berbuka puasa di hotel

RASA teruja seperti awal-awal dulu sudah reda. Apa lagi melihat yang sesetengah majlis berbuka puasa sudah menyimpang tujuan asalnya.
- Diterbit 22 April 2022 3:30 AM MYT

KETIKA saya mula bekerja di Kuala Lumpur 38 tahun dulu, berbuka puasa di hotel-hotel mewah memang menjadi impian.

Dengan latar awal saya di kampung yang mundur, melihat orang lain berbuka puasa di hotel dengan deretan juadah tidak terkira banyaknya, terasa juga mahu menikmati keadaan seperti itu.

Bagaimanapun dengan gaji sekitar RM325 tidak termasuk elaun perjalanan, memanglah tidak layak. Apa lagi mereka yang berbuka di situ bukan calang-calang – semuanya orang besar, kaya dan ternama. Golongan tercorot seperti saya paling hebat pun di Restoran Bilal di Jalan Ampang. Itupun menggigil waktu membayar.

Tempat yang paling layak tidak lain gerai tomyam Makcik Gayah dekat pasar Chow Kit. Atau di banyak gerai lain yang berderet hingga di tepi Hotel South East Asia. Tidak kurang juga gerai bihun sup utara Pak Ali. Di Kuala Lumpur susah hendak jumpa bihun kuning tetapi di gerai Pak Ali ada.

Hidup bukanlah semuanya mengenai keindahan. Yang tidak indah juga adalah kehidupan. Apabila kedua-duanya saling bertaup, itulah yang dipanggil pahit manis kehidupan. Saya yang tidak pernah cukup duit hingga hujung bulan pun ada sisi indah.

Orang tua-tua ada berpesan, kalau mahu menjadi kerak nasi pun janganlah terlebih besar dari periuk. Disebabkan sentiasa mengingati pesanan itu, tidaklah sedih dengan takdir hidup seperti itu. Maka berbelanjalah mengikut kemampuan dan tidak meratap nasib seolah-olah orang paling malang.

Tetapi ada kawan saya yang berasal dari Negeri Sembilan selalu sebut, “Bior papo asal bergayo.” Saya pula selalu sanggah katanya, hendak bergaya dengan apa kalau sudah papa. Tetapi kami adalah wartawan, bukan selebriti. Tidak kesah sangat di mana hendak makan.

Pengalaman berbuka puasa di hotel bermula kerana kerjaya saya wartawan. Mulanya membuat liputan dan berbuka sekali gus. Lama-lama kawan-kawan atau ‘contact’ dari kementerian atau korporat mempelawa hadir.

Mula-mula sekadar mengikut wartawan senior untuk diperkenalkan kepada pegawai-pegawai tinggi di kementerian atau korporat.

Berbuka puasa menjadi serampang dua mata – makan dan berkenalan dengan orang yang akan memudahkan kerja wartawan.

Selalunya bermula minggu kedua bulan Ramadan, hampir setiap malam ada tiga empat undangan berbuka puasa di hotel lima bintang.

Undangan yang biasa-biasa tidak termasuk. Itu yang lima bintang sahaja. Ada yang dianjurkan oleh kementerian di mana menteri menjadi tuan rumah. Tidak kurang juga oleh syarikat korporat untuk menjamu rakan strategik dalam perniagaan.

Membuat tugasan berbuka puasa di hotel tidaklah berat sangat dan bergantung kepada siapa tuan rumahnya. Kalau menteri yang ada kontroversi, tidak bolehlah bersenang-lenang, lepas makan terus balik.

Kalau wartawan akhbar lain dapat scoop, jenuhlah hendak menjawab kepada editor di pejabat.

Sementara PRO pula mesti dijadikan kawan supaya senang untuk meminta tolong kalau mahu mewawancara ketua mereka.

Perkara yang mesti dilakukan ialah meminta kad nama, atau paling tidak pun nombor telefon. PRO juga mahu berbaik-baik dengan wartawan kerana hubungan dua hala dua bidang berbeza.

Apabila terlalu kerap makan di hotel, akhirnya jemu juga. Tambahan pula seperti terpaksa apabila diarahkan oleh editor untuk hadir ke majlis berbuka puasa.

Rasa teruja seperti awal-awal dulu sudah reda. Apa lagi melihat yang sesetengah majlis berbuka puasa sudah menyimpang tujuan asalnya.

Pernah beberapa kali juga saya hadir di majlis berbuka puasa oleh kementerian. Tuan rumahnya menteri. Tetamunya selain pegawai tinggi kementerian berkenaan dan wartawan media arus perdana, tiga empat meja untuk orang politik yang tidak ada kena mengena dengan kementerian. Mereka ada kena mengena dengan menteri.

Di kain pemidang ditulis majlis berbuka puasa dengan anak-anak yatim. Tetapi dalam satu ballroom itu hanya tiga meja sahaja untuk anak yatim.

Saya fikir majlis berbuka puasa itu tidak banyak menaikkan nama kementerian, sebaliknya nama menteri.

Jurugambar pun meminta menteri beraksi melayan anak-anak yatim berbuka puasa. Memang sangat mesralah nampaknya. Jurugambar akhbar arus perdana pun sudah arif dengan tugas mereka.

Walaupun kelihatan sangat klise, tetapi itulah gambar yang terpampang di akhbar pada esoknya.

Pembaca akhbar di seluruh negara tidak tahu di sebalik gambar anak yatim yang disiarkan itu. Mereka tidak tahu ada sesetengah orang politik menggunakan peruntukan kerajaan (duit rakyat) untuk mendapat faedah politik. Perkara ini berlaku dengan berleluasa sekali dan sudah menjadi perkara biasa.

Saya pun menghitung, belanja yang sama kalau dibuat di tempat lain, misalnya di bawah khemah, lebih sekali ganda tetamu dapat menghadiri majlis berbuka puasa itu.

Boleh jemput semua penghuni sebuah rumah anak-anak yatim. Tetapi apabila ada peruntukan, siapalah yang hendak menganjurkan majlis di bawah khemah kenduri kahwin.

Ketika itu sekitar tahun 1985 atau 1986, hotel lima bintang di Kuala Lumpur hanya ada beberapa buah sahaja. Antaranya Hotel Shangri-La, Merlin (sekarang Hotel Concorde), Hotel ParkRoyal dan Hotel Hilton. Keempat-empat hotel ini terletak di Jalan Sultan Ismail di segi tiga emas Kuala Lumpur.

Memanglah saya diundang untuk makan secara mewah dengan percuma. Tetapi tidaklah sampai menghalang otak saya daripada berfikir itu dan itu.

Bukan semua perkara boleh diketepikan semasa makan. Ada kalanya walaupun menjadi orang kecil tetapi kita berfikiran tinggi berbanding orang besar.

Saya berfikir tentang pembaziran yang dilakukan. Menjamu orang yang terlebih mampu bagi saya adalah pembaziran dalam konteks peruntukan daripada kerajaan.

Persoalan demi persoalan itu lama-lama membuatkan keseronokan berbuka puasa di majlis orang besar-besar sirna begitu sahaja.

Di luar hotel mewah berpusu-pusu golongan marhaen yang kais pagi makan pagi hilir mudik.

Berhenti bergerak bererti tidak makan. Tentunya mereka hanya berbuka puasa dengan ala kadar. Mereka hanya makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Di flat-flat daif dan kampung setinggan banyak lagi yang bertarung dengan kenaikan harga barang dan upah yang tidak berubah.

Hidup di kota yang rakus ini pula terpaksa berdepan dengan pelbagai ragam dan perangai manusia. Ada yang hampir mati kerana terlebih makan, ada juga yang tidak cukup makan.

Mengingatkan kesukaran hidup yang mereka terpaksa tempuhi ketika menjamah juadah yang lazat dan mahal di hotel lima bintang membuatkan saya insaf dan kembali ke pangkal insani.

Saya bukan orang politik yang boleh menukarkan orang susah menjadi senang. Saya hanya wartawan yang boleh terus berusaha menyubur nilai-nilai insani antara orang besar dan orang kecil. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas