Berita

Berbuka puasa dengan apa yang ada

SYAFIK mencuci luka pada kaki ibunya yang menghidap penyakit diabetes. SYAFIK mencuci luka di kaki ibunya.
- Diterbit 1 Mei 2020 3:43 PM MYT

NASI putih berlauk ikan bilis dengan air kosong antara hidangan berbuka yang dinikmati Mohd. Syafik Nordin bersama ibu dan adik bongsunya.

Hampir setiap hari itu sahaja menu yang mampu disediakan oleh anak muda berusia 23 tahun ini memandangkan kesempitan hidup yang mereka lalui.

“Kami hanya mengharapkan bantuan barangan asas daripada pangsapuri ini untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” ujarnya.

Ceritanya yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Dalam, kadang-kadang ada jiran yang bermurah hati membelikan ayam sebagai juadah untuk mereka sekeluarga berbuka puasa.

“Dapatlah saya masak ayam untuk ibu dan adik. Kiranya dapatlah makan sedap sedikit,” ujarnya kepada Wilayahku.

Namun anak sulung daripada dua adik-beradik ini tetap bersyukur kerana baginya masih ada keluarga yang lebih susah daripada mereka.

Sejak kehilangan bapa tersayang akibat serangan jantung tahun lalu, dia terpaksa menanggung keluarga sekali gus menjadi tempat ibu dan adiknya bergantung harap.

Dengan pendapatan sebanyak RM350 sebulan sebagai peniaga ayam goreng cheese, ternyata ia tidak mencukupi lebih-lebih lagi ibunya menderita penyakit kencing manis yang memerlukan penjagaan khusus.

“Hujung tahun lalu, ibu terpaksa menjalani pembedahan, jadi saya terpaksa berhenti berniaga seketika untuk menjaga dia di hospital. Alhamdulillah sekarang dia sudah hampir sembuh,” ujarnya.

Sungguhpun berhasrat untuk menyambung kembali jualan ayam goreng cheese namun dia berdepan dengan kekangan modal pula.

“Ramai juga pelanggan yang bertanya tentang ayam goreng cheese, namun saya tiada duit untuk memulakannya semula. Memang ada cadangan untuk jual secara dalam talian.

“Saya memerlukan sekurang-kurangnya RM300 sebagai modal untuk membeli cheese dan ayam jika ingin kembali berniaga.

“Nak keluar cari kerja pun, kita masih dalam tempoh PKP. Saya pun buntu memikirkan jalan keluar daripada masalah ini,” ujarnya sayu.

Turut mendapat bantuan daripada pihak Baitulmal sebanyak RM300 sebulan, wang tersebut dibelanjakan untuk membeli ubat-ubatan ibunya serta membayar bil air dan elektrik setiap bulan.

Hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, Syafiq bagaimanapun berharap suatu hari nanti ada sinar buat mereka sekeluarga.

“Saya yakin setiap kesusahan pasti ada kemudahan, yang penting saya perlu bersabar sedikit sahaja lagi,” ujarnya.

SYAFIK menjaga ibunya dengan penuh kasih sayang.

Pun begitu, dia bersyukur kerana sentiasa dikelilingi insan yang bermurah hati. Terbaharu, dia dan keluarga turut menerima sumbangan Bantuan Keluarga Miskin daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr. Annuar Musa.

Insentif bayaran secara ‘one off’ dalam tempoh PKP ini sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka sekeluarga.

Bagi mereka yang ingin membantu Syafik sekeluarga bolehlah menyalurkan bantuan ke akaun 14180020219940 (Bank Islam) atau menghubungi talian 014-316 9028. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas