Berita

Benzooloo, Jonathan Tse akui erti kebebasan hidup berbeza-beza

|JONATHAN Tse||BENZOOLOO
- Diterbit 5 April 2021 10:00 PM MYT

KREDIBILITI muzikal dalam diri dua penyanyi, Benzooloo dan Jonathan Tse tidak perlu disangkal lagi.

Kerap menjalinkan kerjasama dalam penerbitan lagu, kini mereka tampil bergabung menerusi lagu terbaru berjudul Bebas. Bebas adalah lagu kedua kerjasama mereka selepas Aku Rela.

Menyentuh tentang definisi bebas, setiap orang pasti mempunyai pengertian tersendiri.

JONATHAN Tse

Begitu juga dengan Jonathan atau lebih mesra disapa Jon tampil dengan takrifan berbeza dengan fikiran Benzooloo.

“Bebas lebih kepada bebas melakukan apa saja dalam apa yang saya lakukan, tidak terkongkong dengan apa yang orang mahu.

“Paling penting, kita kena ikhlas dengan diri sendiri. Lagu ini bercerita pasal dalam mula melakukan sesuatu atau cari inspirasi, masa inilah kita kena bebas untuk berani keluar dari kotak selesa itu,” jelas Jon.

BENZOOLOO

 

Manakala Benzooloo pula berfikir dari sudut lebih spesifik di mana menurutnya kunci sebuah kebebasan adalah kegembiraan.

Ini bermakna, ia membabitkan perasaan yang terbit hasil daripada mencapai kebebasan dalam apa juga perkara atau situasi. Baginya, terlepas daripada situasi sekecil mana pun, kebebasan itu memuaskan.

“Perasaan bebas adalah satu pengalaman yang membawa kegembiraan kepada kita semua. Kita berasa gembira apabila bebas daripada sesuatu perkara.

“Contohnya bebas daripada hutang, bebas daripada ketagihan, dan juga macam-macam lagi. Bagi saya pula, saya ingin bebas dari gangguan negatif bila menghasilkan sesebuah lagu.

“Kebebasan itu tidak lain untuk menjadi lebih kreatif dengan cara tersendiri khususnya dalam penulisan lagu. Tapi mungkin ada juga orang di luar sana yang ingin bebas daripada bos yang garang ataupun ingin bebas daripada isteri disebabkan disuruh pergi beli ikan di pasar.

“Kesimpulannya, bebas itu tidak mengenal situasi berat atau remeh,” ujar Benzooloo yang mengaku setiap orang mempunyai maksud tersendiri tentang bebas.

Mengulas proses penghasilannya, ternyata Benzooloo dan Jon mudah untuk mencapai kata sepakat memandangkan keduanya sudah saling memahami.

Menurut Benzooloo, dalam fikiran mereka hanyalah tampil dengan kualiti yang tertinggi sahaja untuk Bebas. Justeru, penelitian bait lirik paling diberi penekanan, penting.

“Tempoh untuk siapkan lirik Bebas memakan masa dalam seminggu kerana pada masa sama ada tulis lagu-lagu lain juga.

“Tambahan pula, selepas siap tulis lagu ini, kami kena ambil masa lebih kurang dalam sehari untuk meneliti semula lirik yang sudah siap ditulis. Mana lirik yang tidak masuk akal, kami buang dan gantikan dengan lirik baru,” katanya.

Bukan sekadar mencurahkan keringat untuk lagu semata-mata, duo ini turut berhabis memerah keringat untuk muzik videonya.

Mendapat sentuhan pengarah Al Hanafi daripada Hantu Studios, nilai artistik hasilnya cukup mengagumkan.

“Memang kami yang bagi idea iaitu konsep dalam penjara sebelum mereka terjemahkannya kepada penceritaan sendiri menerusi visual itu.

“Ia mengambil masa selama tiga hari untuk disiapkan di dua lokasi berbeza. Kami bahkan masuk ke hutan untuk bahagian babak Benzooloo. Itu antara pengalaman menarik!” ulas Jon.

Benzooloo dan Jon adalah dua figura awam cukup berpengaruh dalam lapangan muzik di Sabah. Mereka juga berjaya menakluk industri hiburan nasional menerusi pelbagai projek.

Benzooloo pernah meledak menerusi lagu Terkemuka bersama Zizi Kirana dan Allahyarhamah Sandra Dianne, manakala Jon pernah bekerjasama dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

‘Bebas’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas