Selebriti

Bell Ngasri dinobatkan Bintang Paling Popular ABPBH 35

- Diterbit 21 Julai 2023 4:19 PM MYT

ANUGERAH Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35, menyaksikan pelakon komedi Bell Ngasri,43, sebagai Bintang Paling Popular, malam tadi.

Ini sekaligus mengetepikan calon lain yang sebelum ini disebut-sebut bakal membawa gelaran itu seperti Anna Jobling, Meerqeen dan Aina Abdul.

Bell yang terdahulu meraih trofi Artis Komedi Popular menewaskan Zizan Razak, Johan, Jaa Suzuran dan Syahmi Sazli, merangkul trofi Bintang Paling Popular pada edisi ke-35 acara anugerah berprestij yang disiarkan secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur.

Bell atau nama sebenarnya Nazrizal Ngasri, mengaku sudah lama menanti trofi yang menilai artis dari sudut populariti.

“Selepas 37 tahun saya tunggu nak dapat perkataan ‘popular’, akhirnya (hari ini saya) dapat. Tetapi, saya tak nak menangis. Kalau nak menangis, dari berjalan di karpet merah tadi saya sudah menangis.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada penganjur, BH. Berkat undian dan berkat doa seluruh rakyat Malaysia, saya sendiri tak percaya dalam dewan penuh dengan peminat Anna Jobling dan Meerqeen, tetapi Alhamdulillah, semua boleh ucap yak yak yeay!,” Katanya.

Trofi Bintang Paling Popular diserahkan Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali kepada Bell di pentas Panggung Sari yang hinggar-bingar dengan tepukan dan sorakan penonton.

Selain trofi, Bell yang terkenal dengan slogan ‘yak yak yeay’ daripada karakter Barkoba yang dibawanya, menerima kotak eksklusif Fellera X ABPBH 35 sumbangan penaja utama, Fellera Skin.

Pengarang Urusan Kumpulan, The New Straits Times Press (M) Bhd merangkap Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman serta Pengarah ABPBH 35 merangkap Pengarang Berita Hiburan BH, Shamshul Azree Samshir mengiringi Rafiq di pentas.

Turut hadir menyaksikan kemenangan Bell di pentas ABPBH 35 adalah ibu dan bapanya, Ngasri Sain dan Habibah Jaafar serta adiknya, Naszreen Ngasri, 40, atau Darling serta Datin Nasriah atau Anne, 38.

Bell yang memulakan kerjaya seni sejak usia enam tahun dilahirkan dalam keluarga seni. Abangnya, Naszeli Ngasri dan dua adiknya, Darling serta Anne turut aktif sebagai pelakon.

Antara filem yang pernah dibintanginya adalah Kampung Latah The Mummy, Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, Bulan dan Pria Terhebat, Hero: Jangan Bikin Panas, Tanda Putera, 1957: Hati Malaya, Puteri Impian dan banyak lagi.

Bell pernah meraih kejayaan sebagai Aktor Pembantu Terbaik pada Anugerah Skrin (ASK) 1998 menerusi telefilem menyentuh hati berjudul Pa’e yang dibintangi Shaheizy Sam dan Harun Hashim.

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas