Berita

Belia tunjang keutuhan negara

AZIZAH (empat dari kiri) bergambar bersama juara kategori Pertubuhan Belia, Junior Chamber International (JCI) Malaysia.
- Diterbit 21 Julai 2023 4:00 AM MYT

BELIA merupakan tunjang ­keutuhan dan kekuatan kepada bangsa serta negara. Golongan ini dianggap sebagai penyambung legasi antara satu generasi ke generasi yang mampu menjadi penentu masa hadapan dan mencorak pembangunan negara.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2022, hampir separuh daripada bilangan ­populasi penduduk di Malaysia ­diterajui oleh golongan belia di bawah umur 40 tahun di mana kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja ­mencatatkan seramai 829,400 daripada 1.9 juta penduduk.

Justeru itu, sempena meraikan ­sumbangan dan penglibatan belia ­kepada negara, Sambutan Hari Belia Negara (HBN) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 diadakan di Dewan Kampo, Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Bandar Tun Razak pada Ahad.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata sambutan ini adalah ­pengiktirafan tertinggi daripada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) kepada ­golongan belia atas sumbangan yang diberikan kepada masyarakat.

“Sambutan ini adalah ­sememangnya dinanti-nantikan oleh seluruh belia di Malaysia. Saya kira ia menjadi ­simbol kebersamaan belia dan kerajaan ­dalam proses transformasi membangunkan mereka agar lebih bersedia ­sebelum menggalas tanggungjawab sebagai ­pemimpin masa hadapan negara.

“Anak muda Malaysia hari ini ­hanya mahukan keadilan saksama untuk semua dan penurunan umur minimum ­mengundi juga dilihat mampu ­memberi lebih masa kepada golongan muda mendekati dan mendalami arena politik termasuk kepimpinan negara.

“Justeru itu, ruang dan ­platform ini ­juga berupaya melihat lebih ­ramai ­golongan muda terlibat aktif dalam ­membuat keputusan berkaitan ­masa ­depan negara sekali gus menjadi ­pemimpin baik di peringkat ­persekutuan mahupun negeri,” ujar beliau ketika ­merasmikan program tersebut.

Turut hadir Setiausaha Politik ­kepada Perdana Menteri, Azman Abidin; Presiden Majlis Belia WPKL, Mohamed Naseer Mohamed dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan WP, Asmori Sa’ahari.

Dalam majlis perasmian tersebut, Azizah turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 ­kepada 26 penerima merangkumi Pingat Jasa Belia, Pingat Bakti Belia ­serta ­pemenang Anugerah Perdana Belia Negara bagi menghargai sumbangan dan mengiktiraf jasa bakti para penerima yang telah memimpin Majlis Belia Wilayah sehingga kini.

Terdahulu, bertemakan ‘Ini Masa Kita’, HBN peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 dimeriahkan dengan 30 buah reruai pameran, aktiviti ­kebudayaan dan pertandingan yang ­melibatkan agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Antaranya pertandingan tarian ­tradisional, zumba, ceramah usahawan muda, persembahan artis, pameran ­robotik dan animasi serta pelbagai lagi program menarik.

HBN peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2023 mendapat ­kerjasama sokongan daripada Jabatan Perdana Menteri, Pejabat Setiausaha Perdana Menteri, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak, Touch ‘n Go dan Mass Rapid Transit Corperation Sdn Bhd (MRT Corp). – WILAYAHKU

 

PEMENANG ANUGERAH PERDANA BELIA NEGARA 2023

Kategori Individu Wanita
Johan: Khairunnisa Abu Samah
Naib Johan: Nur Atika Hairi
Ketiga: Shalina Mohd Abdul

Kategori Individu Lelaki
Johan: Lai Sheng Chet
Naib Johan: Tan Check Foong
Ketiga: Mohammad Amar Masuri

Kategori Pertubuhan Belia
Johan: Junior Chamber International Malaysia
Naib Johan: Persatuan Belia Seri Cempaka

Penerima Pingat Jasa Belia (P.J.B)
1. Ts Dr Nagulendran Kangataykarasu – Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
2. Datuk Parang Abai@Thomas – Timbalan ketua Pengarah (Pengurusan dan Sosio Ekonomi), Jabatan Wilayah Persekutuan
3. Dr Zainah Shariff – Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara
4. Azman Abidin – Setiausaha Politik Perdana Menteri
5. Datuk Nurulhidayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
6. Profesor Datuk Dr Mohammad Riza Tan Sri Abdahir
7. Mohammad Mahathir Mohamed Younos
8. Afiq Mohd Ghazali
9. Ahmad Umar Khair Zainuddin
10. Mohd Razlan Muhammad Rafili

Penerima Pingat Bakti Belia (P.B.B)
1. Zaihan Mahamud
2. Basran Yunus
3. Azman@Kelana Mahmood
4. Siralan Palanisamy
5. Gunaretinam A/L Rajan
6. Surendran A/L Supramaniam
7. Ng Chin Long
8. Ng Chok Hock

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas