Artikel

Belia bangunkan jati diri Mohammadthir

MOHAMMADTHIR
MOHAMMADTHIR
- Diterbit 19 Julai 2019 12:26 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

MENJADI pemimpin belia tidaklah semudah yang disangkakan. Apatah lagi, pertubuhan belia yang dipimpin bersama telah dinobatkan sebagai pertubuhan belia terbaik negara pada tahun 2018.

Bagi Timbalan Pengerusi Pertubuhan Belia Beliawanis Bukit Kuda (PBBBK), Labuan, Mohammadthir Malik, 32, pembabitannya dalam pertubuhan itu sejak tahun 2013 membuka lembaran baharu dalam hidupnya.

“Seawal umur 26 tahun, saya telah dipelawa oleh bekas Pengerusi PBBBK Labuan, Ghazali Osman untuk menjadi ahli persatuan.

“Sejak itu, saya tidak memandang kebelakang dan berazam untuk menabur bakti dalam bidang pembangunan belia di kampung saya, Kampung Bukit Kuda,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara paling utama yang dipelajari adalah berkenaan pengurusan organisasi.

“Walaupun ia mungkin dilihat mudah, di sinilah bakat kepimpinan diasah dan kemampuan mengurus serta mengendalikan sumber manusia benar-benar menguji keupayaan diri kita,” katanya.

Mohammadthir berkata, selain ilmu pengurusan organisasi, beliau turut mempelajari kemahiran pengurusan program.

“Pertubuhan belia `kaya’ dengan pelbagai program dan aktiviti untuk menarik minat golongan belia.

“Apabila sudah kerap mengendalikan program, kemampuan untuk menguruskan program sama ada berbentuk rasmi atau santai sudah menjadi biasa,’’ katanya.

Mohammadthir yang merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Belia Labuan (MBL) bagi penggal 2019-2021 berkata, sepanjang pembabitannya bersama PBBBK, mereka telah mencatat sejarah tersendiri dalam arena pembangunan belia negara.

“Kami telah menjadi Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri (kategori pertubuhan) tahun 2014, 2016, 2017 dan 2019.

“Kami juga pernah menjadi Naib Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan (Kategori Pertubuhan) tahun 2017.

Katanya, anugerah yang dimenangi itu merupakan hasil kerja berpasukan dan penglibatan aktif semua pihak dari pe­ringkat ahli sehingga pengurusan PBBBK.

Pemegang Diploma Pengurusan Pejabat dan Teknologi dari universiti Utara Malaysia (UUM) ini berkata, 2019 merupakan tahun paling gemilang buat dirinya dan pertubuhan belia yang diwakilinya.

“Antara pengalaman yang pasti terpahat dalam ingatan adalah menerima anugerah yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Saya dan rakan-rakan mewakili PBBBK menerima anugerah apabila dinobatkan sebagai Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan (kategori pertubuhan) 2019 di Putrajaya pada Mei lalu.

“Saya turut memenangi Johan Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri (kategori individu),’’ katanya.

Bapa kepada dua orang anak ini berkata, setiap belia di negara ini harus bergiat aktif di dalam program kemasyarakatan.

“Ini dapat mengelakkan kita daripada terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah dan yang lebih utama ia dapat membangunkan jati diri kita,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas