Berita

Beberapa saluran Astro terjejas, masalah sedang ditangani

Beberapa saluran perkhidmatan televisyen Astro telah mengalami gangguan siaran sejak tengah hari tadi.
- Diterbit 21 Jun 2021 2:45 PM MYT

PENYEDIA satelit Astro Malaysia Holdings Bhd, MEASAT Satellite Systems Sdn Bhd mengalami gangguan perkhidmatan sejak tengah hari tadi, dan Astro sedang berusaha untuk menangani masalah berkenaan.

Astro dalam kenyataan ringkas hari ini berkata penyedia kandungan pelbagai platform itu telah memulihkan sebahagian besar saluran yang terjejas, dan ia kini dalam proses memulihkan baki saluran secepat mungkin.

“Pelanggan yang tidak dapat menemukan saluran mereka, boleh terus menonton menerusi ‘strim’ di Astro GO. Astro memohon maaf terhadap kesulitan yang timbul,” menurut kenyataan itu.

Beberapa saluran perkhidmatan televisyen satelit itu telah mengalami gangguan siaran sejak tengah hari tadi.

Astro merupakan syarikat penyedia kandungan dan hiburan ternama di Malaysia, yang membekalkan perkhidmatan kepada 5.7 juta kediaman, atau 74 peratus daripada isi rumah televisyen Malaysia. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas