Berita

PKPD Desa Rejang: KPWKM agih bakul makanan

KPWKM turut menyediakan perkhidmatan sokongan sosial melalui perkhidmatan tele kaunseling, pengoperasian bilik gerakan, Talian Kasih 15999 24 jam serta berkomunikasi dengan wakil penduduk yang telah dilantik. Gambar - BERNAMA
- Diterbit 21 Jun 2021 3:39 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyampaikan 3,000 bakul makanan kepada 2,971 keluarga di Perumahan Awam Desa Rejang di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), sejak 18 Jun lepas sehingga semalam.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata hari ini 1,500 keluarga lagi telah disantuni hari ini melibatkan pesanan dan permintaan barangan khusus kegunaan harian seperti peralatan mandian, ubat-ubatan dan keperluan bayi.

Langkah proaktif ini diambil KPWKM berikutan aduan yang dikemukakan penduduk di Desa Rejang berkaitan dengan keperluan makanan dan keperluan asas yang terjejas susulan daripada larangan pengoperasian kedai runcit sepanjang tempoh PKPD.

“JKM sedang menyusun gerak kerja bagi penghantaran bakul makanan fasa kedua yang melibatkan penambahan lagi 3,000 bakul makanan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), pertubuhan bukan kerajaan dan juga orang perseorangan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas mengenai keperluan penduduk membeli barangan keperluan harian, KPWKM berkata satu gerak kerja sedang dirangka untuk membantu penduduk yang terjejas.

KPWKM turut menyediakan perkhidmatan sokongan sosial melalui perkhidmatan tele kaunseling, pengoperasian bilik gerakan, Talian Kasih 15999 24 jam serta berkomunikasi dengan wakil penduduk yang telah dilantik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas