Berita

Bazar Lorong TAR dibuka semula

- Diterbit 18 Mac 2021 11:14 AM MYT

RAYUAN peniaga-peniaga bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri didengari Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa apabila beliau telah memberikan kebenaran untuk beroperasi semula di Lorong Tuanku Abdul Rahman pada tahun ini.

“Demi memenuhi rayuan peniaga bazar Aidilfitri, kita bersetuju bukan sahaja untuk benarkan bazar dibuka tapi kita hidupkan semula bazar di tapak asal di Lorong Tuanku Abdul Rahman mulai 17 April, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dikenakan,” ciapnya di twitter hari ini.

Terdahulu, isu bazar tersebut menjadi polemik apabila ia dipindahkan di Jalan Raja berhadapan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad pada tahun 2019.

Rentetan itu, ramai peniaga mengeluh kerana perniagaan di kawasan tersebut kurang maju selain sukar untuk orang ramai berkunjung ke kawasan itu.

Annuar pada Sabtu lalu telah melakukan tinjauan di Lorong Tuanku Abdul Rahman untuk melihat sendiri kawasan tersebut dan bertemu dengan peniaga serta Persatuan Peniaga dan Penjaja Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman untuk mendapatkan maklumat terperinci berhubung permintaan peniaga yang mahukan lokasi bazar Ramadan dikembalikan semula di lorong tersebut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas