Berita

BANTUAN PRIHATIN ELEKTRIK BUKTI KERAJAAN MENDENGAR DENYUT NADI RAKYAT

- Diterbit 20 Jun 2020 7:21 AM MYT

KENYATAN MEDIA CUEPACS

Keputusan Kerajaan meluluskan Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada 7.66 juta pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung membuktikan kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan pandangan rakyat. CUEPACS bagi pihak penjawat awam dan rakyat keseluruhannya mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih atas keputusan yang membantu meringankan beban dihadapi rakyat yang terkesan dengan krisis pandemik Covid-19.

CUEPACS berpandangan keputusan kerajaan memberikan pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh 3 bulan iaitu bagi bil bulan April, Mei & Jun memberikan manfaat yang lebih meluaskan kepada rakyat berbanding pemberian diskaun mengikut blok penggunaan elektrik sebelum ini. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, CUEPACS berpandangan pemberian diskaun mengikut blok penggunaan seperti sebelum ini tidak begitu menyeluruh dan perlu dinilai semula bagi membolehkan rakyat mendapat manfaat. Ia kerana sepanjang tempoh PKP dilaksanakan keberadaan rakyat di rumah meningkat hampir 100% daripada hari biasa. Ia sudah tentu meningkatkan pengguna elektrik di rumah tambahan perlu melaksanakan Work From Home. Pemberian diskaun yang semakin berkurangan sekiranya penggunaan lebih tinggi menjadi tidak praktikal.

Dalam pada itu, CUEPACS turut menzahirkan penghargaan kepada pihak TNB yang sanggup dan terbuka untuk memberikan insentif lebih baik kepada rakyat tanpa memikirkan keuntungan semata-mata. Tanggungjawab tersebut membuktikan TNB sentiasa bersama rakyat dalam membantu disaat semua pihak menghadapi kesukaran. Walaupun menerima kritikan akibat kekeliruan maklumat, TNB sentiasa profesional dalam membantu rakyat memberi penjelasan. CUEPACS juga berharap semua pihak yang menghadapi masalah kekeliruan bil elektrik mereka untuk tampil bertemu atau bersemuka dengan pihak TNB di Kedai Tenaga atau mana-mana cawangan TNB berhampiran bagi menyelesaikan kekeliruan. Janganlah menggunakan medium sosial media untuk melontarkan padangan yang tidak berasas hingga ia mencetuskan kegusaran kepada rakyat. Langkah paling penting adalah dengan sentiasa mengamalkan penjimatan bagi mengelakkan kita terbeban dengan koa yabg dicipta sendiri. Sekian, terima kasih.

PRESIDEN CUEPACS
HAJI ADNAN MAT

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas