Selebriti

Banjir: Syafiq Farhain harap masyarakat henti tuding jari

- Diterbit 31 Disember 2021 10:37 PM MYT

PENYANYI popular Syafiq Farhain,27, menyeru kepada semua agar berhenti menuding jari atau mencari kesalahan orang lain dalam usaha membantu mangsa banjir.

Menurut penyanyi lagu Sayang Maafkan Aku dan Kau Bidadari ini, banjir yang berlaku di beberapa buah negeri seperti Selangor, Pahang dan Kuala Lumpur adalah di luar jangkaan disebabkan kawasan tersebut jarang sekali mengalami bencana seperti itu.

“Semua orang tak sangka banjir ini boleh berlaku. Iyalah… Semuanya di luar jangkaan kita.

“Apa yang penting sekarang adalah hentikan menuding cari dan mencari kesalahan orang lain, sebaliknya sama-sama bersatu untuk membantu mereka yang terjejas dengan bencana ini.

“Saya faham dalam apa-apa keadaan pun, sudah tentu ada yang suka atau tidak. Namun, buat masa ini hentikanlah tohmahan yang tidak berfaedah itu.

“Tiada guna nak ungkit itu ini kerana ia tidak dapat selesaikan masalah pun, malah boleh mengeruhkan lagi keadaan.

“Saya tahu mungkin ada yang kurang berpuas hati dalam bermacam-macam hal berkaitan isu banjir ini. Lupakan seketika rasa itu dan fikirlah untuk membantu mangsa banjir yang terjejas teruk dan memerlukan,” ujar Syafiq yang berharap masyarakat terus menyokong kerajaan dan agensi-agensi bukan kerajaan (NGO).

Bagi Syafiq, sudah menjadi tanggungjawab rakyat menyokong apa yang terbaik yang telah dilakukan oleh kerajaan.

“Bukan mudah hendak menguruskan isu banjir ini. Ia memerlukan perancangan yang betul dari pelbagai aspek.

“Saya puji usaha kerajaan yang berusaha memulihkan keadaan mangsa-mangsa banjir. Bukan itu sahaja, banyak peruntukan yang diberikan kepada mereka untuk kembali bangkit.

“Mungkin tidaklah setimpal dengan kerugian yang dialami, namun saya percaya usaha kerajaan dan NGO banyak meringankan beban mereka.

“Kepada mangsa-mangsa banjir, bertabahlah hadapi ujian ini. Sama-sama kita berdoa agar segalanya dipermudahkan,” ujarnya lagi yang turut berkhidmat sebagai anggota bomba di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas