Berita

Banjir: Sarawak, Pahang pulih sepenuhnya, Sabah beransur pulih

KEADAAN banjir yang melanda Johor baru-baru ini. - FOTO: Pengguna Facebook
- Diterbit 20 Januari 2021 9:49 AM MYT

SARAWAK dan Pahang pulih sepenuhnya daripada banjir petang ini, manakala Sabah pula beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Di SARAWAK, PPS terakhir yang ditutup pukul 2 petang tadi adalah di Sekolah Kebangsaan Tanah Puteh di Daerah Serian dekat sini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam laporan terbaharunya berkata kesemua 309 mangsa banjir yang menjadi kumpulan terakhir menduduki PPS berkenaan telah kembali ke kediaman masing-masing.

Di PAHANG, PPS terakhir iaitu Sekolah Kebangsaan Temai di Daerah Pekan ditutup pada pukul 3 petang tadi selepas semua 47 mangsa daripada 24 keluarga dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Selepas 18 hari dilanda banjir, Pahang akhirnya pulih daripada bencana itu.

Hujan lebat berterusan beberapa hari juga menyebabkan tanah runtuh berlaku di KM63 dan KM73 Jalan Kuantan-Segamat di Pekan pada 1 Jan lepas  menyebabkan laluan yang menghubungkan Pantai Timur dan selatan Semenanjung ditutup selama empat hari.

Banjir tahun ini di Pahang melibatkan jumlah mangsa yang ramai dengan jumlah tertinggi direkodkan adalah 27,294 orang pada 8 Jan lepas dengan hampir 300 PPS dibuka di seluruh daerah kecuali di Cameron Highlands.

Bah tahun ini turut menyaksikan tujuh orang maut akibat lemas atau terkena renjatan elektrik.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir petang ini berkurangan kepada 642 orang daripada 195 keluarga berbanding 791 orang daripada 227 keluarga pagi tadi .

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan tiga PPS telah ditutup iaitu Dewan Serbaguna Likas dan Masjid Jamek di Kota Kinabalu serta Dewan Binsulung Paitan.

“Anggota APM masih menjalankan pemantauan di kawasan terjejas teruk banjir bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” menurut kenyataan itu.

Lima daerah masih menempatkan mangsa banjir termasuk Beaufort, Kota Belud, Tuaran, Papar dan Tenom. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas