Berita

Polis kesan tiga lelaki bantu siasatan kes judi dalam talian

- Diterbit 20 Januari 2021 10:17 AM MYT

POLIS sedang mengesan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung penganjuran judi dalam talian di Subang Jaya dan daerah-daerah berhampiran yang dipercayai beroperasi sejak sembilan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata lelaki berkenaan dikenali sebagai Chia Wee Keat, 31, atau Datuk WK yang beralamat di Jalan Kantan 14, Ambang Botanic, Bandar Botanic, Klang.

Dua lagi lelaki ialah Kuek Vijin atau Vijin, 30; dan Kuek Vegen atau Vegen, 26, kedua-dua mereka beralamat di Lorong Batu Nilam 20C, Bandar Bukit Tinggi 2, Klang.

Abd Khalid berkata kesemua lelaki berkenaan dikehendaki bagi membantu disiasatan kes perjudian dalam talian mengikut Seksyen 4(1)(a), 4(1)(c) dan 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Usaha mengesan mereka berikutan tangkapan 15 individu di sebuah kondominium mewah di Subang Jaya kerana disyaki terlibat dengan sindiket judi dalam talian pada 31 Dis tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat supaya menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya DSP Yeoh Chun Shyan di talian 012-2626191 dan Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Subang Jaya ASP M. Harikrishnan di talian 012-5818927 atau mana-mana balai polis berhampiran. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas