Berita

Bangun komuniti kraf baharu

- Diterbit 23 Januari 2025 5:37 PM MYT

KRAFTANGAN Malaysia dengan kerjasama Pejabat Parlimen Bandar Tun Razak dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Subzon 1 memberi fokus dalam usaha membangun dan mewujudkan komuniti kraf baharu bagi menjana pendapatan utama atau sampingan.

Menerusi Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Bandar Tun Razak, peserta dilatih dari aspek kemahiran teknikal berdasarkan bidang kraf bersesuaian dengan kumpulan komuniti.

Menurut Kraftangan, peserta diberi latihan keusahawanan yang merangkumi aspek pengurusan perniagaan, pengurusan kewangan, pengurusan operasi, pemasaran serta teknologi maklumat dan komunikasi.

“Peserta turut didedahkan teknik memasarkan produk secara langsung kepada pelanggan di bawah Makmal Pembangunan dan Pengeluaran Produk Kraf Batik Tanah Liat (Fasa 1).

“Seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada suri rumah, beliawanis dan golongan B40 menyertai pelaksanaan makmal yang terbahagi kepada dua peringkat iaitu penghasilan kain batik tanah liat dan penghasilan produk cenderamata kipas tangan serta bunga gubahan,” ujarnya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, pelaksanaan PPKK selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) yang turut meliputi isu pembangunan ekonomi dan sosial yang perlu dicapai
oleh negara dalam memastikan pembangunan negara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif kepada semua rakyat.

“Kraftangan Malaysia terus komited dalam memastikan kesemua matlamat ini dicapai menjelang tahun 2030 dengan menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan peluang dalam menjana pendapatan kepada rakyat seperti menyediakan program-program latihan kepada usahawan sedia ada atau kepada penduduk setempat,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas