Berita

Bangkit hadapi cabaran Covid-19

|||ANGGOTA tentera dikerah untuk membantu kawalan di kawasan PKPD di Pasar Borong Kuala Lumpur. |
- Diterbit 20 Jun 2020 3:30 AM MYT

TAN SRI TPr Annuar Musa tidak menunggu lama untuk menggerakkan pelbagai inisiatif bagi membantu warga Wilayah Persekutuan sebaik beliau memulakan tugas hari pertamanya sebagai Men­teri Wilayah Persekutuan pada 11 Mac 2020.

Kemunculan pandemik Covid-19 membuatkan tugas beliau makin getir memandang­kan Kuala Lumpur sebagai ibu negara menjadi tumpuan seluruh dunia untuk menyaksikan sejauh mana keberkesanan kerajaan menangani wabak itu.

Sebagai Pengerusi Jawatan­kuasa Keselamatan Negeri Wilayah Persekutuan, ­Annuar muncul sebagai ‘panglima’ yang berani dalam menerajui ‘angkatan’ di seluruh Wilayah Persekutuan untuk menguruskan isu-isu berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19 dan juga impak ­daripada perintah itu terhadap seluruh warga Wilayah Persekutuan.

Bagi meneliti ­pencapaian ­dalam tempoh 100 hari menjadi Menteri Wilayah Persekutuan, sorotan dapat dilakukan mengikut beberapa kluster yang utama iaitu;

RAKYAT MISKIN, B40 DAN ASNAF

Pada 25 Mac lalu, Annuar mengumumkan Inisiatif Wilayah Cakna bagi membantu warga Wilayah Persekutuan dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM63.6juta.

Sebahagian besar daripadanya iaitu RM54.3 juta adalah bagi membantu warga Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada golongan miskin bandar, golongan B40, pelajar, gelandangan, peniaga kecil dan penjaja.

Bantuan: Di bawah inisiatif tersebut, warga berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 ­sebulan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan diberi sumbangan food pack dan bantuan khas kepada keluarga asnaf.

Perumahan: Bagi ­meringan­kan beban rakyat ekoran PKP, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) memberikan penge­cualian enam bulan bayaran sewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) MTEN dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

ANNUAR menyampaikan bantuan kit makanan kepada golongan asnaf di Labuan baru-baru ini.

Selain itu, pembeli PPR MTEN dan PA DBKL diberikan penangguhan bayaran ansuran unit selama enam bulan.

Kerajaan ­juga memberikan sumbangan wang tunai RM100 kepada penghuni PPR MTEN dan PA DBKL.

Dalam pada itu, pada 29 Mac 2020, Annuar membuat pengumuman tambahan Inisiatif Wilayah Cakna selaras dengan Inisiatif Prihatin kepada warga Labuan iaitu pengecualian enam bulan bayaran sewa ­perumahan awam milik PL bagi Mac hingga ­Ogos untuk 546 akaun melibatkan kos RM933,210.

Penduduk Labuan juga menikmati pengecualian enam bulan sewa untuk premis ­niaga milik PL untuk 774 akaun melibatkan RM1,03 juta, bantuan sara hidup RM500 secara one-off kepada 1,300 orang melibatkan kos RM650,000 dan tambahan Kit Bantuan Makanan bagi 1,200 orang dengan kos RM60,000.

GELANDANGAN

Pada 24 Mac 2020, KWP melalui DBKL mengambil pendekatan untuk menempatkan kesemua 908 orang gelandangan termasuk 71 warga asing di 12 Pusat Penempatan Gelandangan Sementara bagi mengelakkan mereka daripada merayau-merayau dan menjadi punca penularan wabak Covid-19.

Annuar telah menunjukkan sikap prihatinnya terhadap golongan tersebut yang sebelum ini sering dipinggirkan.

Golongan tersebut telah diberikan sumbangan makanan dan pakaian serta ­menjalani ujian saringan ­Covid-19. Alhamdulillah kesemua mereka negatif wabak itu.

Melalui program penempatan pekerjaan, peluang pekerjaan disediakan kepada lebih 300 gelandangan bagi fasa pertama.

Pada 13 Mei 2020, seramai 166 gelandangan berjaya mendapat pekerjaan di syarikat Top Glove Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd di Perak atas inisiatif yang dilaksanakan Menteri Wilayah Persekutuan.

Bagi meningkatkan motivasi mereka, satu program latihan khas selama sebulan dijalankan di Sepang, Selangor dan program pemulihan serta bimbingan di Pahang.

PENJAJA DAN PENIAGA KECIL

Di bawah inisiatif Wilayah Cakna, Kementerian Wilayah Persekutuan menyalurkan sumbangan one-off sebanyak RM500 kepada golongan penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan.

Peniaga di ibu kota turut menerima pengecualian enam bulan bayaran sewa ­gerai atau premis perniagaan milik ­DBKL manakala di Putrajaya pengecualian enam bulan ­sewa premis menjual barangan ­keperluan harian juga diberikan kepada peniaga.

Pada 4 Mei 2020, Annuar turut mengumumkan bantuan diskaun 30 peratus ke atas kadar pajakan 108 lot tanah milik Perbadanan Labuan bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta perusahaan mikro di ­Labuan yang terkesan daripada PKP dengan keseluruhan kos ditanggung kerajaan sebanyak hampir RM1 juta.

Pada 3 Jun 2020, beliau sendiri turun ke lapangan bagi menyerahkan Lesen Penjaja Beredar DBKL kepada warga emas, Minah Awang, 71, atau dikenali sebagai Che Nah selepas menanti selama 35 tahun untuk berniaga secara sah.

Susulan itu, DBKL digesa untuk meneliti kembali syarat permohonan lesen penjaja dan peniaga di Wilayah Persekutuan supaya dapat memudah cara bagi golongan penjaja dan peniaga untuk mendapatkan lesen.

Pada 10 Jun 2020, Annuar mengumumkan berita gembira buat penjaja di Labuan apabila mereka diberikan lesen penjaja percuma untuk tempoh ­setahun mulai Jun ini.

PENGURUSAN COVID-19

Sebagai Pengerusi Jawatan­kuasa Kerja Keselamatan Negeri WP, Annuar berjaya mengemudikan jenteranya dengan menyusun strategi untuk mengawal wabak Covid-19 daripada merebak antaranya melancarkan Ops Covid-19.

Di bawah inisiatif Wilayah Cakna, KWP menyediakan peruntukan RM5.9 juta untuk membantu para petugas barisan hadapan terdiri daripada anggota perubatan dan penguatkuasaan PKP manakala RM3.4 juta disalurkan bagi membantu pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan mangsa Covid-19.

Apa yang lebih mencabar ialah kesungguhan jawatankuasa yang diterajui oleh Annuar itu dalam menyelaraskan pengurusan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor Mansion, Malayan Mansion, Menara City One, Jalan Masjid India dan Pasar Borong Kuala Lumpur.

ANGGOTA tentera dikerah untuk membantu kawalan di kawasan PKPD di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Gerakan disinfeksi dan sani­tasi besar-besaran bermula di Seri Petaling, Kuala Lumpur yang sebelum ini menjadi lokasi kluster terbesar jangkitan Covid-19 telah dilaksanakan di seluruh kawasan tumpuan orang ramai di ibu kota, Putrajaya dan Labuan.

ADUAN RAKYAT

Pada 19 April 2020, Annuar mengambil inisiatif mewujudkan saluran WhatsApp talian PERTIWI khusus menjadi tempat aduan permasalahan serta pandangan warga kota untuk meningkatkan kualiti pentadbiran kementerian dan agensi di bawahnya.

Pada 26 Mac 2020, beliau mengumumkan mengenai penyusunan semula Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) ­apabila mendapati sebahagian besar MPPWP tidak aktif dan tidak pernah ­menghantar sebarang laporan kegiatan dan perbelanjaan seperti ­disyaratkan KWP.

KESEJAHTERAAN RAKYAT

Pada 11 April 2020, Annuar ketika turun padang menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur memberikan jaminan bahawa isu pemilikan rumah yang sudah lebih 30 tahun melibatkan penduduk kawasan itu akan diselesaikan.

Tegas beliau, hak kesemua 100 keluarga yang tinggal di situ akan dibela.

Pada masa sama pencerobohan terhadap Taman Rimba Kiara tidak dibenarkan sama sekali.

Beliau mengambil sikap zero tolerance terhadap pemaju yang ingin mengubah kawasan taman kepada pembangunan.

Pada 1 Jun 2020, Annuar mengumumkan ­pelaksanaan Tabung Penyelenggaraan Wilayah Persekutuan (TPWP) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) 2020 yang akan mengembalikan ­kerancakan ekonomi negara.

Sebanyak RM38.5 juta disalurkan kepada DBKL dan RM1.5 juta kepada Perbadanan Labuan untuk pelaksanaan projek di 57 kawasan.

Kerja-kerja penyelenggaraan yang terlibat seperti mengecat bangunan, pembaikan bumbung, landskap, mekanikal dan elektrikal bakal dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik secara proses undian dan proses tender.

PENIAGA DAN PEKERJA WARGA ASING

KWP di bawah teraju Annuar mengambil sikap ­tegas terhadap kegiatan warga asing mengambil kesempatan menjalankan perniagaan secara tidak sah di ibu kota sehingga menyebabkan peluang untuk anak tempatan bekerja terjejas.

PENGUATKUASA DBKL menyita premis yang digunakan peniaga warga asing.

Untuk itu, DBKL telah menjalankan operasi secara berterusan menggempur pendatang asing yang selama ini memonopoli aktiviti perniagaan di Pasar Borong Kuala Lumpur dan pelbagai premis niaga di Kuala Lumpur.

PEMBANGUNAN SUKAN

Pada 3 April 2020, Annuar mengumumkan pemberian elaun penuh sepanjang tempoh PKP kepada semua 700 atlet dan 103 jurulatih di bawah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Anggaran kos pembayaran elaun adalah sebanyak RM600,000 bagi Mac dan April 2020.

Beliau juga mengumumkan pemberian insentif kepada atlet Sukan SEA Manila yang mendapat pingat emas (RM2,000), perak (RM1,500) dan gangsa (RM1,000).

PEMBANGUNAN

Dalam ucapan pertama beliau di majlis rasmi sejak dilaksanakan PKP, pada 10 Mei 2020, Annuar mengumumkan cadangan pembinaan masjid ketiga di Putrajaya dan pembangunan Quranic Village di Presint 14 bagi memartabatkan budaya Islamik dan ilmu al-Quran termasuk kepada pelancong dari luar negara.

Beliau mengumumkan perkara tersebut ketika menyempurnakan pelancaran Mushaf Putrajaya yang bakal diterbitkan sempena sambutan Jubli Perak Putrajaya tahun ini.

KWP juga menyalurkan dana sejumlah RM1 juta untuk menyokong usaha pencetakan naskhah al-Quran tersebut untuk diedarkan kepada orang ramai dan masjid serta surau.

Pada 20 Mei 2020, Annuar mengumumkan projek menaik taraf Pasar Borong ­Kuala Lumpur menjadi pasar moden dengan kemudahan asrama bagi pekerja.

Usaha memodenkan pasar borong tersebut juga merupakan sebagai salah satu langkah menggalakkan rakyat tempatan bekerja dalam sektor berkenaan.

ORANG MUDA

Pada 10 Mei 2020, Annuar mengemukakan cadangan pelaksanaan tiga projek perumahan mampu milik atau Residensi Prihatin di bawah harga RM200,000 khusus kepada golongan muda di Putrajaya.

Ini kerana harga rumah mampu milik yang ditawarkan di Putrajaya masih mahal.

Bagi membuka ruang orang muda berniaga, sebanyak 103 tapak disediakan sebagai permulaan yang akan diwartakan dalam pusat beli-belah serta lokasi strategik untuk membantu usahawan belia menjalankan perniagaan dalam keadaan baik, teratur dan moden.

Pada 3 Jun 2020, Annuar mengumumkan pelaksanaan langkah-langkah pendekatan sosial untuk mengurangkan impak kemiskinan dalam bandar.

Bagi tujuan itu, sebanyak RM40 juta diperuntukkan dari bajet RM200 juta untuk tujuan penyelenggaraan PPR dan sebagainya akan digunakan bagi menggajikan anak muda dan belia melakukan kerja penyelenggaraan tersebut.

PERUMAHAN RAKYAT

Pada 15 Mei 2020, Annuar menjelaskan tentang peranca­ngan untuk membina sejumlah 5,000 unit Residensi Prihatin iaitu perumahan mampu milik.

Tapak lokasinya di Wilayah Persekutuan telah dikenal pasti dengan menyasarkan golongan belia berumur 35 tahun dan ke bawah untuk memiliki rumah pertama mereka dengan harga RM200,000 ke bawah bersamaan bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sahaja.

Selain itu, kerajaan juga memperkenalkan program rumah mikro sebanyak 1,000 unit dengan kadar sewa RM800 hingga RM850 sebulan.

KESELAMATAN NYAWA WARGA WILAYAH

Pada 1 Jun 2020, Annuar dengan tegasnya menggesa langkah pembekuan lesen baharu penjualan minuman keras yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Susulan itu, DBKL telah mengeluarkan notis makluman yang menyatakan pengeluaran lesen baharu minuman keras telah dibekukan untuk satu tempoh masa. Tindakan itu ekoran peningkatan kes pemandu mabuk hingga menyebabkan insiden kemalangan maut.

PENGHARGAAN

Pada 29 April 2020, Annuar memperkenalkan kempen Light It Blue atau Limpahan Lampu Biru bagi menzahirkan penghargaan dan solidariti kepada semua petugas barisan hadapan negara khususnya di Wilayah Persekutuan yang telah diadakan pada 30 April sehingga 3 Mei 2020. Ia juga diadakan sempena sambutan Hari Pekerja 2020 yang diadakan setiap 1 Mei.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas