Berita

Annuar Musa: Cabaran dan harapan

ANNUAR (tiga kiri) beramah mesra bersama penduduk Sungai Keling, Labuan.
- Diterbit 20 Jun 2020 4:00 AM MYT

TEMPOH 100 hari mungkin masih singkat untuk mencatatkan kejayaan atau membawa perubahan besar.

Namun mengimbau kembali apa yang telah dicapai oleh Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa, dalam tempoh tersebut, ia menyerlahkan kesungguhan beliau dalam menyelesaikan pelbagai isu sosio-ekonomi yang serba mencabar.

Beberapa langkah yang diambil dalam mendepani permasalahan di Wilayah Persekutuan serta menawarkan penyelesaian positif menampakkan ketrampilan beliau melaksanakan amanah yang dipikul.

Dalam menyelesaikan masalah, beliau lebih mengutamakan ciri-ciri prihatin dan kemanusiaan.

Ini terbukti dengan cara beliau menangani masalah gelandangan dan penjaja di Kuala Lumpur. Beliau berusaha mengangkat martabat gelandangan agar tidak terus menjadi insan jalanan.

Justeru latihan dan peluang kerja disediakan untuk golongan ini agar mereka menjadi manusia berdikari dan tidak hanya meminta-minta.

Kepada golongan penjaja pula, mereka dibantu memaksimumkan keupayaan berniaga serta merangsang pembangunan usahawan agar penjaja lebih berdaya maju di samping menjalankan urus niaga dalam suasana kondusif.

Mereka yang tidak berlesen akan dibantu mendapatkan lesen daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tidak terus dikejar atau diburu penguatkuasa DBKL.

Contoh nyata sifat prihatin dan kemanusiaan beliau kepada penjaja ialah apabila menyerahkan sendiri lesen kepada seorang penjaja, Che Nah, di tempat dia berniaga di Jalan Setia Bakti, Damansara.

Sikap ini sungguh menyentuh hati kerana Che Nah yang sekian lama memohon lesen tetapi gagal, akhirnya menerima lesen daripada menteri sendiri.

Pengalaman lama dalam politik dan kerajaan memberi pengalaman berguna kepada Annuar untuk mendepani masalah dengan tenang serta menawarkan penyelesaian konkrit kepada setiap permasalahan.

Sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, beliau bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Mungkin ada yang menganggap tugas beliau mudah kerana hanya mengawasi tiga Wilayah Persekutuan.

Namun anggapan ini tidak tepat kerana beliau perlu berhadapan dengan tiga kawasan yang pesat membangun dan mempunyai pelbagai isu dan cabaran.

Kuala Lumpur sebagai ibu negara yang pesat membangun mempunyai banyak isu seperti isu penjaja, setinggan, gelandangan, kemudahan awam, pembangunan dan pengindahan bandar, perumahan, kesihatan, kebersihan serta bermacam-macam lagi. Kesemuanya menuntut penyelesaian.

Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara juga tidak kurang memerlukan fokus teliti daripada aspek sosi-ekonomi dan pembangunan serta kelestariannya agar statusnya sebagai pusat pentadbiran tetap dipandang tinggi dan dihormati.

Labuan sekalipun jauh terpisah tetap dijaga dengan baik. Jauh di mata namun dekat di hati. Segala perhatian diberikan bagi pembangunan dan kesejahteraan pulau bebas cukai ini sesuai dengan statusnya sebagai pusat kewangan luar pantai.

Komitmen

Justeru tugas sebagai Menteri Wilayah Persekutuan memerlukan dedikasi dan komitmen tinggi dalam melaksanakan misi menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai wilayah maju dan makmur.

Dalam tempuh 100 hari menjadi menteri, beliau telah menyerlahkan komitmen tinggi bagi mendepani dan menangani beberapa isu yang mempunyai hubung kait dengan rakyat seperti isu gelandangan dan penjaja seperti yang dinyatakan di atas.

Annuar juga dijangka berdepan dengan isu-isu lebih mendesak dan mencabar seperti rancangan pembangunan Kampung Baru. Pembangunan ini sudah lama dirancang, namun setelah beberapa dekad masih belum menjadi kenyataan.

Ini adalah cabaran besar yang tidak mustahil mampu Annuar selesaikan dengan segala pengalaman yang beliau ada dan dengan kerjasama pihak-pihak berkenaan.

Jika isu ini berjaya diselesaikan, ia pastinya akan menjadi kejayaan besar bagi Annuar khasnya dan dan rahmat bagi penduduk Kampung Baru amnya.

Beliau sendiri pasti menyedari harapan besar yang diletakkan di atas bahunya sebagai Menteri Wilayah Persekutuan. Pengalaman, komitmen dan kebolehannya adalah senjata kukuh untuk menempuh gelombang cabaran dalam menunaikan tanggung jawab.

Jika kejayaan 100 hari Annuar menerajui kementerian boleh dijadikan ukuran, lebih banyak visi memakmur dan memajukan Wilayah Persekutuan serta penduduknya akan direalisasikan. Semoga usaha dan kerja keras beliau membuahkan kejayaan cemerlang.

Ahmad Abd Hamid

Penulis merupakan bekas Penolong Ketua Pengarang Utusan Malaysia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas