Berita

Bahaya gudang kosong, semak

GUDANG kosong dibiarkan tidak terurus punca pembiakan nyamuk aedes dan haiwan berbisa.
- Diterbit 27 Oktober 2020 6:19 AM MYT

KEADAAN gudang di kawasan perumahan Taman Rainbow, Batu, Kuala Lumpur yang dibiarkan kosong sejak beberapa tahun lalu sehingga dipenuhi semak samun membimbangkan pen­duduk setempat.

Ini kerana, ia boleh mengun­dang haiwan berbisa seperti ular di samping menjadi lokasi pembiakan nyamuk aedes yang mengancam keselamatan pen­duduk.

Oleh itu, prihatin dengan situasi semasa, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Sub Zon 3 Pekan Batu, Hishamuddin ghazali telah mengemukakan aduan kepada pihak berkuasa supaya tinda­kan dapat dilakukan.

“Saya menerima aduan daripada Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rainbow, Govindasamy berkenaan masalah yang di­hadapi dan meninjau sendiri kawasan berkenaan.

“Situasi yang teruk itu boleh mengancam keselamatan pen­duduk apabila ada haiwan liar yang mengganggu seperti ular dan biawak,” katanya yang turut khuatir lokasi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Menurut Hishamuddin, pi­hak komuniti juga pernah berunding dengan tuan tanah untuk menyelesaikan isu tersebut namun pertemuan dua hala itu tidak berhasil.

Ujarnya, jika keadaan itu berterusan, ia bukan hanya mengancam keselamatan pen­ duduk tetapi akan menyebabkan saluran longkang yang melalui tanah di situ tersumbat.

“Banjir boleh berlaku jika tidak diatasi dengan segera.

“Oleh itu, diharapkan pihak berwajib dapat menyelesaikan hal tersebut dengan peruntukan undang­-undang dan juga bidang kuasa yang diberikan bagi kebaikan serta kesejahteraan penduduk Taman Rainbow,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas