Artikel

Bahasa Abah meninggalkan kesan emosi

- Diterbit 25 Ogos 2021 6:02 AM MYT

“SAUDARA-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi. Apa khabar?”

Inilah antara ungkapan wajib dan menjadi ungkapan keramat pemimpin Perdana Menteri kelapan setiap kali  memberikan perutusan kepada rakyat namun kini tiada lagi didengar. Keadaan politik yang kurang stabil memberikan kesan besar kepada pemimpin tersebut termasuklah mengheret kesan emosi yang mendalam kepada rakyat keseluruhannya.

Ibarat seminggu ‘mata masuk habuk’ malah ada yang mengaku ‘banjir’ atas perkara yang berlaku. Tanpa henti cerita pemimpin tersebut disebut-sebut sehingga ke hari ini khususnya laman-laman sosial popular. Begitu besar pengaruh pemimpin tersebut kepada sebahagian besar rakyat di negara ini.

Pemimpin yang dimaksudkan ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri yang telah memberikan tsunami emosi rakyat akibat peletakan jawatan beliau. Tidak pernah berlaku kepada mantan-mantan pemimpin negara yang lain apabila rakyat secara terus terang menyatakan luahan dan sayang mereka kepada pemimpin yang digelar ‘abah’ ini?

Apakah keistimewaan abah sehingga ‘pengundurannya’ ditangisi oleh rakyat? Jelas, bahasa abah menjadi faktor utama mengapa beliau sangat dekat di hati rakyat. Bahasa abah juga diibaratkan bahasa percakapan yang bersifat memujuk, menasihat dan menyedarkan kita daripada melakukan perkara yang dilarang. Malah, abah selalu bercerita dalam ucapannya yang menyebabkan kita terbuai dengan cerita yang disampaikan.

Bahasa abah yang dimaksudkan inilah yang dikatakan sebagai retorik. Retorik yang menjadi nadi penyampaian Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada dalam penulisan mahupun lisan. Dengan perwatakan dan keperibadian yang tinggi, abah digambarkan seperti bapa yang seolah-olah bercakap dengan anak-anaknya. Asmah Haji Omar (2014) menyatakan bahawa retorik membawa unsur pengertian yang baik kerana menyampaikan ilmu pengetahuan melalui bahasa dan selok-belok penggunaan bahasa.

Hal ini bermakna sesiapa yang menggunakan retorik dalam ucapan atau penulisan merupakan individu yang mempunyai ilmu pengetahuan yang hendak dikhabarkan kepada orang ramai dengan tujuan murni atau altuistic iaitu bermotifkan kebaikan kepada golongan sasaran semata-mata. Golongan pengucap dan penulis yang mementingkan penyampaian akan menggunakan retorik yang mempunyai pelbagai sifat tetapi memiliki nilai kehalusannya.

John E. Jordon (1965) pula menyatakan retorik lebih mementingkan seni pemujukan ketika berucap. Pemujukan ini digunakan bagi mempengaruhi khalayak agar memberi reaksi tertentu terhadap perkara yang disampaikan oleh pengucap. Dalam konteks kepemimpinan, retorik melalui ucapan menjadi asas dalam menyampaikan amanat, mesej dan sokongan kepada rakyat. Lima jenis retorik yang mendasari pelbagai aspek kehidupan termasuklah sosial,  ekonomi, politik dan agama iaitu retorik pendedahan, retorik penghujahan, retorik pemujukan, retorik pemerian, retorik penceritaan. Secara umumnya, setiap retorik ini mempunyai ciri-ciri khusus yang berperanan untuk menarik perhatian dengan tujuan yang dan sasaran golongan yang betul.

Berbalik kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, ucapan beliau penuh dengan penggunaan retorik yang besar pengaruhnya dan disampaikan dengan nada khusus. Jika diimbas kepada perutusan-perutusan awal beliau sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, retorik pemujukan banyak digunakan dalam teks perutusan tersebut. Contohnya, penggunaan “Saudara-saudari rakyat Malaysia yang saya kasihi. Apa khabar?”, menunjukkan elemen teks tersebut dekat di hati pendengar dan pembaca khususnya pemilihan perkataan “yang dikasihi’ dan ‘apa khabar?”. Begitu juga dengan ungkapan “Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara.”, menggambarkan seolah-olah Perdana Menteri ketika itu memujuk rakyat supaya bersabar dan dinyatakan penyelesaiannya dengan menyatakan rakyat boleh menziarahi ibu bapa di kampung jika keadaan pulih.

Begitu juga contoh ungkapan dalam Retorik Penceritaan yang jelas menampakkan Tan Sri Muhyiddin Yassin bercerita berdasarkan pengalaman beliau pulang ke kampung setelah lama tidak boleh berbuat demikian di Muar dan membawa ikon masakan Muar iaitu asam pedas dalam teks amanatnya. Hal ini berdasarkan teks beliau, “Saya sendiri pun pulang ke Muar bersama keluarga beberapa minggu lepas. Sempatlah juga saya sekeluarga menikmati asam pedas yang agak
popular”. Gaya penceritaan ini menjadikan pembaca dan pendengar menghayati pengalaman dan pengembaraan beliau untuk menikmati asam pedas yang popular di Muar.

Dalam video tular tentang ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pegawai-pegawainya pada hari terakhir memberikan satu lagi ucapan retorik yang digunakan. Ungkapan “Saya minta maaf kerana banyak kekurangan waktu saya berada di sini. Mungkin banyak melakukan kesilapan, saya mohon maaf pada saudara-saudari” memberikan kesan paling mendalam. Amat jarang seorang pemimpin negara meminta maaf kepada pegawai bawahan dan inilah aura pemimpin yang disayangi rakyat. Jadi, besar pengaruh bahasa ini kepada kita. Begitu juga bahasa ‘abah’ yang sentiasa dikenang selama-lamanya. Terima kasih abah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Oleh Norani Abd Rahim, Pensyarah Cemerlang Gred Khas C IPG Kampus Ilmu Khas
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas