Pembelajaran Sepanjang Hayat

Pembelajaran Sepanjang Hayat

PEMBELAJARAN Sepanjang Hayat (PSH) di Malaysia bermula sejak tahun 2010. PSH merupakan segala aktiviti pembelajaran yang dilakukan sepanjang hayat bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam aspek yang berkait dengan peribadi, sosial atau pekerjaan.

PSH yang dijalankan di Kolej Komuniti adalah secara kursus jangka pendek dan bermodul yang ditawarkan kepada komuniti di 104 buah kolej komuniti yang terdiri dari 93 kolej komuniti induk dan 11 kolej komuniti cawangan. Program PSH disasarkan kepada masyarakat setempat antaranya belia, warga emas, ibu tunggal, pelajar sekolah, pelajar institusi tahfiz dan pondok, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan orang asli.

Kadar yuran pendaftaran adalah RM5.00 setiap kursus. Kos bahan mentah akan dikenakan tertakluk kursus yang diikuti. Pengiraan kos bahan mentah ditetapkan berdasarkan kursus yang akan disertai. Sebagai contoh, Kursus Asas Roti, kos bahan mentah seperti tepung, gula dan mentega perlu dibayar oleh peserta. Peserta boleh membawa balik roti selepas kursus tamat.

Kursus dijalankan dalam bentuk teori dan amali. Sebagai contoh, bagi kursus jahitan pakaian, pada awal kursus peserta akan didedahkan dengan asas jahitan secara teori dan seterusnya peserta akan menjahit pakaian mengikut langkah demi langkah secara amali. Kaedah ini juga berbeza antara setiap kursus.

Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Ts Zainab Ahmad lebih tiga juta penyertaan sejak PSH dilaksanakan.

Sehingga kini, sebanyak 3,148,539 penyertaan dan 145,341 kursus telah dilaksanakan, sebanyak 3,148,539 penyertaan dan 145,341 kursus telah dilaksanakan.

“10 daripada 22 bidang kemahiran yang mempunyai penyertaan tertinggi pada tahun 2020 adalah seperti Katering dan Sajian; Komputer dan Teknologi Maklumat; Pembangunan Diri/Motivasi; Grafik dan Multimedia; Perniagaan dan Keusahawanan; Jahitan dan Pakaian; Kecantikan dan Dandanan; Program Industri; Kerohanian dan Keagamaan; dan akhir sekali Elektrik dan Elektronik,” katanya.

Tambah beliau lagi, selain PSH, kolej komuniti juga menawarkan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat (PISH) ialah inisiatif yang diperluas daripada PSH. Objektifnya ialah semua pelajar tahfiz dan pondok perlu diberikan ilmu dan kemahiran TVET dan keusahawanan; dan semua umat Islam mendapat peluang yang luas untuk mengikut pendidikan Islam sepanjang hayat.

Pada tahun 2020, pelbagai Program Kemahiran Pelajar Tahfiz telah dilaksanakan dalam bidang kemahiran terpilih merangkumi Masakan dan Pastri, Jahitan, Servis Kenderaan Ringan, Penyelenggaraan Penyaman Udara, Pemprosesan Makanan dan Teknologi Agro dan Akuakultur. Sebanyak 10,846 penyertaan dalam program PISH dan 612 kursus telah dijalankan.

Antara kebaikan menyertai PSH ialah meningkatkan kemahiran dan pengetahuan komuniti dalam pelbagai bidang yang boleh menjana pendapatan; meningkatkan taraf sosio ekonomi melalui penjanaan pendapatan setelah dibekalkan dengan kemahiran dan pengetahuan; penganugerahan Sijil PSH Bermodul yang melayakkan mereka melanjutkan pengajian melalui laluan Akreditasi Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Seterusnya, menyebar luas peluang pendidikan melalui PSH yang ditawarkan oleh kolej komuniti; serta membudayakan PSH kepada komuniti dan memperlihatkan PSH mampu menjadi salah satu kaedah untuk meningkatkan kerjaya dan sosio ekonomi.

Pengukuhan PSH melalui Pelan Tindakan PSH Kolej Komuniti 2021-2025. Mulai tahun 2021 hingga 2025, pelaksanaan PSH kolej komuniti akan berpandukan dan berfokuskan lima misi PSH iaitu:

Misi PSH 1: Membangunkan Komuniti yang Celik Digital Seiring 4IR
Pelaksanaan PSH dalam era 4IR adalah bertujuan melahirkan rakyat yang celik digital. Salah satu indikator negara maju ialah wujudnya kelompok besar masyarakat yang kehadapan dalam penggunaan teknologi terkini dalam amalan harian. Inisiatif membangunkan komuniti yang celik digital akan menjadi satu misi hala tuju baharu pendekatan PSH.

Misi PSH 2: Meningkatkan Kualiti Hidup dan Kesejahteraan Masyarakat
Pelaksanaan PSH diteruskan dengan memperkukuh usaha dan kerjasama semua Kementerian yang menjalankan PSH, khususnya melalui program terlanggan (customised) kepada golongan OKU, ibu tunggal, belia dan pekerja kurang mahir ke arah membina kehidupan yang lebih mampan.

Misi PSH 3: Meningkatkan Kolaborasi dengan Industri
Bagi meningkatkan penglibatan industri selaras dengan agenda 4IR, jalinan kolaborasi melalui pelaksanaan Joint Programme, Customized Programme, Private Public Partnership dan Industry on Campus akan terus digiatkan. Usaha ini bertujuan mengurangkan ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri dan melahirkan bakat yang sedia masa hadapan (futureproof learners).

Misi PSH 4: Memperkukuh Keusahawanan
Keusahawanan merupakan pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, di samping bertindak sebagai penggerak utama kepada peningkatan tahap inovasi, kreativiti dan daya saing rakyat sesebuah negara. Elemen keusahawanan dikenalpasti sebagai antara komponen penting bagi menjayakan proses transformasi ekonomi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dan berpaksikan inovasi.

Misi PSH 5: Memperkasa Program PISH
Pelaksanaan PISH perlu dijajar semula dengan dasar sedia ada dan ditambahbaik agar selari dengan keperluan semasa. Selain itu, peluasan PISH kepada golongan mualaf dan jangkauan kepada golongan bukan Islam turut dirancang bagi meningkatkan kerjasama dan kefahaman yang tidak terhad kepada pelajar institusi tahfiz dan pondok sahaja. Pelaksanaan program PISH akan menekankan kepada kursus kemahiran dengan model keusahawanan bagi melahirkan usahawan dalam kalangan kumpulan sasaran.

Antara perancangan PSH kolej komuniti bagi tahun 2021 adalah Program/Kursus PSH 2021 iaitu Perancangan program/kursus secara matriks ini membantu kolej komuniti untuk merancang takwim PSH dengan lebih berfokus dan tersusun dengan mengambil kira hala tuju baharu dan kumpulan fokus. Sebanyak 2,925 program/kursus PSH yang melibatkan enam (6) kumpulan fokus iaitu belia, ibu tunggal, warga emas, B40, OKU dan orang asli telah dirancang dengan penglibatan semua kolej komuniti.

Selain itu, Dua Program PSH di bawah Belanjawan 2021 iaitu Program Latihan Kemahiran kepada Pelajar di Institusi Tahfiz dan Sekolah Pondok 2021. Bagi pelajar tahfiz dan pondok, adalah penting bagi mereka untuk mengimbangi ukhrawi dan duniawi.

Oleh itu, kolej komuniti membantu dalam membekalkan ilmu-ilmu kemahiran. Ilmu kemahiran ini akan mampu membantu pelajar-pelajar ini memperkasakan lagi diri mereka dalam meneruskan kehidupan.

Bagi tahun 2021, Program Kemahiran kepada Pelajar di Institusi Tahfiz dan Sekolah Pondok (PKTP) akan dilaksanakan oleh semua kolej komuniti dengan sasaran sebanyak 22,602 penyertaan dalam kalangan pelajar institusi tahfiz dan sekolah pondok.

Program seterusnya ialah Program Keusahawanan Komuniti 2021 yang menumpukan kepada golongan tertentu seperti asnaf, usahawan kecil, belian dan ibu tunggal untuk melahirkan usahawan yang berkemahiran tinggi. Kolej komuniti akan membimbing dari segi kemahiran dan bimbingan keusahawanan kepada golongan ini.

Kolej komuniti juga membantu mereka dalam membina jaringan kolaborasi dengan agensi luar. Pada tahun 2021, seramai 1,021 sasaran peserta akan dilatih sebagai usahawan dalam pelbagai bidang.

Akhir sekali, Program kolaborasi PSH antara kolej komuniti dengan kerjasama agensi lain mengikut negeri. Kolej komuniti juga digalakkan menjalankan kerjasama dengan agensi, institusi, syarikat dan persatuan di peringkat negeri bagi melaksanakan program-program PSH yang dirancang agar pelaksanaan program ini boleh mencapai objektif pada tahap optimum. 41 program/kursus melalui kolaborasi kolej komuniti dengan agensi, institusi, syarikat dan persatuan di peringkat negeri.

Bagi memastikan PSH kolej komuniti terus relevan dan diterima masyarakat, kekuatan /kelebihan akan terus ditonjolkan. Antaranya adalah HRDF Claimable Training Center (Industri boleh membuat tuntutan bayaran yuran PSH dengan HRDF), yuran penyertaan minimum RM5 (tempoh kursus minimum 5 jam) dan tidak termasuk yuran bahan, kaedah pelaksanaan PSH yang fleksible dan Customize Program (mengikut permintaan industri dan komuniti).

Pelaksanaan PSH kolej komuniti tidak lari dari menghadapi cabaran yang ada terutamanya dengan pandemik yang masih membelenggu kehidupan normal seperti kesukaran mendapat pembiayaan untuk melaksanakan program PSH, kesukaran mendapatkan penyertaan komuniti, industri dan agensi kerana menghadapi masalah kewangan disebabkan oleh pandemik Covid-19, Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelaksanaan PSH secara dalam talian.

Bagi menyertai PSH atau mendapatkan maklumat lanjut mengenai PSH kolej komuniti boleh layari laman sesawang kolej komuniti: https://www.mypolycc.edu.my/; atau melalui iklan penawaran kursus oleh kolej komuniti berdekatan; atau berhubung terus dengan pengurusan kolej komuniti berdekatan.

CATEGORIES